Peniaga online tarik nafas lega

Dr Barjoyai Bardai
Dr Barjoyai Bardai
A
A
A

PERMINTAAN terhadap perkhidmatan internet pada hari ini meningkat secara drastik terutama sejak negara dilanda pandemik koronavirus (COVID-19) bermula awal tahun ini.

Penggunaannya dilihat sangat ketara apabila ramai yang mula bekerja dari rumah dalam tempoh tersebut.

Ini disokong dengan perkhidmatan pembelian dalam talian yang turut meningkat, menyebabkan rangkaian jalur lebar tidak lagi dianggap sebagai kehendak tetapi menjadi keperluan asas kini.

Perkembangan pesat itu menjadikan syarikat-syarikat telekomunikasi berdepan cabaran lebih besar dalam menambah baik serta meningkatkan lagi perkhidmatan rangkaian jalur lebar sedia ada.

Apatah lagi permintaan itu tidak hanya tertumpu di kawasan perniagaan dan perusahaan tetapi meliputi kawasan perumahan kerana peralihan penggunaan internet yang tinggi turut tertumpu di kawasan terbabit.

Kini, kerajaan mengiktiraf kesalinghubungan digital sebagai utiliti ketiga menerusi Belanjawan 2021 yang dibentangkan di Parlimen baru-baru ini.

Ia turut memperuntukkan RM7.4 bilion daripada keseluruhan peruntukan berjumlah RM9.4 bilion kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) untuk memperluaskan perkhidmatan jalur lebar.

Pakar ekonomi, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, kepentingan internet atau jaringan telekomunikasi sebagai utiliti ketiga selepas air dan elektrik tidak boleh dinafikan malah ia melebihi kepentingan lebuh raya dan pengangkutan awam.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, telekomunikasi boleh menggantikan pengangkutan fizikal dalam jangka masa panjang dan jangka masa perantara ini.

Sebagai contoh, katanya, dalam tempoh beberapa tahun ini, banyak barang yang boleh dihantar tanpa memerlukan sistem pengangkutan fizikal misalnya konsep percetakan 3D yang membolehkan barang-barang dihantar melalui sistem internet.

“Di negara seperti Australia dan New Zealand, apabila berlaku bencana rumah runtuh atau rumah dihanyutkan, mereka guna sistem percetakan 3D untuk membina rumah dengan cepat menggunakan sistem internet.

“Kemungkinan pada masa depan kita boleh melihat perkara ini dikembangkan dalam perniagaan lain termasuk makanan,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas berhubung kepentingan utiliti digital ini kepada industri perusahaan mikro serta industri kecil dan sederhana (PKS), Barjoyai berkata, sebelum ini aktiviti perniagaan seumpama ini agak terhad kerana mereka terpaksa melalui sistem fizikal terutamanya berkaitan logistik, selain tidak terdedah kepada perniagaan antarabangsa.

Katanya, kini dengan mendedahkan pengusaha mikro dan PKS untuk menggunakan laman web dan sistem internet, mereka sudah boleh memperluas skop perniagaan ke seluruh dunia.

“Walaupun hanya menjual kerepek pisang tetapi laman web dapat dilihat oleh pengguna dari seluruh dunia.

“Malah sudah ada contoh, seorang peniaga cucur badak dari Sungai Petani, Kedah yang hanya berniaga di bawah pokok kini berjaya pasarkannya hingga ke Vancouver, Kanada.

“Pada hari ini, peniaga mikro dan PKS telah didedahkan dengan pasaran global dan secara perlahan-lahan sistem logistik juga sudah berubah.

“Ini membolehkan mereka melakukan penghantaran tanpa keperluan formaliti yang besar seperti melalui pelabuhan dan kontena kapal,” katanya.

Selain itu, katanya, melalui digital peniaga-peniaga PKS dan mikro mempunyai maklumat baharu tentang peluang perniagaan di seluruh dunia.

Luaskan perniagaan

Pengasas Zarareez Design, Nurul Idayu Abd Arif, 32, yang mengusahakan jualan barangan buatan tangan untuk kanak-kanak secara dalam talian sejak tahun 2015, menyambut baik pengiktirafan kesalinghubungan digital sebagai utiliti ketiga.

Menurutnya, pada era globalisasi kini platform digital menjadi keperluan yang sangat penting dalam kehidupan masyarakat.

“Tentu sekali internet menjadi keperluan wajib kerana saya menjalankan aktiviti jualan dalam talian.

“Semua urusan belian stok, jualan, pemasaran, hubungan langsung dengan pembekal dan pelanggan menggunakan rangkaian internet sepenuhnya.

“Tanpa internet tidak mungkin perniagaan saya dapat berjalan lancar.

“Kini saya dapat pasarkan lebih 30 jenis produk seperti bantal, selimut, anak patung dan terbaharu pelitup muka fabrik sehingga ke Singapura dan Brunei,” katanya.

Nurul Idayu menunjukkan satu daripada lebih 30 produk di bawah jenama Zarareez Design yang diusahakan secara dalam talian sejak 2015.
Nurul Idayu menunjukkan satu daripada lebih 30 produk di bawah jenama Zarareez Design yang diusahakan secara dalam talian sejak 2015.

Beliau turut melihat penggunaan internet akan terus meningkat selari dengan peredaran masa termasuk pada keadaan semasa dan pasca-COVID-19.

Sementara itu, pengusaha restoran nasi ayam Chicken Rice Guys (CRG), Firman Fauzi, 39, menyifatkan kemudahan internet sebagai utiliti ketiga telah banyak membantunya mencapai sasaran peningkatan jumlah pelanggan.

“Kewujudan internet memudahkan kami berhubung dengan pelanggan dan ahli kumpulan kami.

“Malah, utiliti ini juga memudahkan urusan selain mampu merancakkan lagi peluang dan cara baharu meraih pendapatan.

“Internet amat penting dalam proses menyebarluaskan maklumat dalam masa yang singkat dan cepat. Manfaat kegunaannya besar, justeru kemudahan ini menjadi keperluan asas kepada masyarakat terutama dalam tempoh sukar ini,” katanya.

Dari kiri: Ketua Pemasaran dan Perhubungan Awam CRG, Ahmad Rizal Gui Abdul Khaleq Gui; Firman dan Ketua Pegawai Operasi CRG, Juhan Faiz menunjukkan menu nasi ayam, mee wantan, itik panggang dan nasi lemak CRG.
Dari kiri: Ketua Pemasaran dan Perhubungan Awam CRG, Ahmad Rizal Gui Abdul Khaleq Gui; Firman dan Ketua Pegawai Operasi CRG, Juhan Faiz menunjukkan menu nasi ayam, mee wantan, itik panggang dan nasi lemak CRG.

Firman yang juga Ketua Pegawai Eksekutif CRG mula mengusahakan perniagaan dengan membuka sebuah kios pada tahun 2014 bersama sepupunya.

Kini mereka berjaya membuka kios di kantin Universiti Malaya dan memperluaskannya melalui cawangan restoran di Seksyen 7, Shah Alam dan terbaharu di SS15 Subang Jaya.

Produknya telah dikembangkan dengan kepelbagaian menu iaitu nasi itik, mi kari, mi kicap dan banyak lagi.