Bakal pengantin lega PKPB tamat

Suhara (empat dari kanan) bersama ahli keluarganya sedang membuat persiapan sempena majlisnya esok di Durian Daun di sini hari ini.
Suhara (empat dari kanan) bersama ahli keluarganya sedang membuat persiapan sempena majlisnya esok di Durian Daun di sini hari ini.
A
A
A

MELAKA - Tiada yang lebih menggembirakan bagi seorang bakal pengantin apabila impian untuk melangsungkan majlis pernikahan sambil disaksikan saudara-mara di masjid bakal terlaksana susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula 4 November lalu ditamatkan tengah malam ini.

Pekerja kedai pembekal bahan kek dan roti, Suhara Mohd Shah, 31, berkata, dia lega apabila kerajaan memutuskan pelaksanaan PKPB di Johor, Melaka, Kedah dan Terengganu ditamatkan lebih awal berbanding 6 Disember depan seperti diumumkan sebelum ini.

Menurutnya, dia yang mengikat tali pertunangan dengan Zamri Amis pada Mei lalu hanya sempat melakukan majlis secara ringkas dan tiada majlis jamuan makan memandangkan ketika itu PKPB pertama dilaksanakan.

"Walaupun nampak gembira dengan majlis yang diadakan, namun jauh di lubuk hati saya tersimpan sedikit rasa sedih apabila hari bersejarah kami ketika itu tidak dapat disaksikan sanak saudara yang tinggal di luar Melaka.

"Waktu itu hanya sesi menyarungkan cincin oleh bakal ibu mentua sahaja diadakan dan tiada sebarang jamuan makan atau sesi kunjung-mengunjung seperti kebiasaannya biarpun ketika itu adalah hari raya ketiga Aidilfitri namun saya bersyukur PKPB ini ditamatkan lebih awal.

"Malah sanak saudara luar dari Melaka seperti di Johor juga teruja dan mahu menyaksikan majlis pernikahan saya esok," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Durian Daun Lama di sini hari ini.

Dalam pada itu, Suhara berkata, majlis pernikahannya itu nanti bukan sahaja untuk meraikan hari bersejarahnya namun apa yang lebih penting mereka dapat berkumpul dan bertemu dengan ahli keluarga serta sanak saudara.

"Apa pun kami tidak akan mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan termasuk akan menyediakan cecair pembasmi kuman dan memastikan tetamu memakai pelitup muka pada majlis pernikahan esok.

Artikel Berkaitan:

"Jadi, kami berharap majlis yang diadakan serba ringkas esok berjalan dengan lancar dan berdoa agar wabak ini juga berakhir," katanya.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob mengumumkan PKPB diperluaskan ke tujuh negeri di Semenanjung kecuali Pahang, Perlis dan Kelantan selama empat minggu bermula 9 November lalu hingga 6 Disember ini.

Bagaimanapun, dalam sidang media terbarunya, Ismail Sabri memaklumkan PKPB di Melaka, Terengganu, Kedah (kecuali Kulim) dan Johor (kecuali Kota Tinggi dan Mersing) tamat sepenuhnya tengah malam nanti.