X

Kindly register in order to view this article
!

Ketengah tawar kursus jangka pendek percuma

Razali Idris
A
A

KUALA TERENGGANU – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) menawarkan kursus operasi kelapa sawit jangka pendek secara percuma kepada belia berusia antara 17 hingga 35 tahun.

Kursus Penyeliaan & Operasi Ladang Kelapa Sawit (KPOLKS) itu dikendalikan Pusat Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) Kolej Ketengah dengan kerjasama Ketengah Holding Sdn. Bhd. (KHSB) iaitu syarikat Ketengah.

Pengerusi Ketengah, Senator Datuk Razali Idris berkata, kursus KPOLKS diadakan selama tiga bulan dan ia diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).

“Tujuan utama kursus ini ditawarkan adalah untuk melahirkan generasi baru yang berkemahiran tinggi dalam bidang penyeliaan dan operasi ladang kelapa sawit selaras dengan hasrat kerajaan untuk memantapkan modal insan negara.

“Selain itu, objektif kursus ini adalah untuk menawarkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan khususnya dalam perladangan kelapa sawit dan seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga asing,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Razali, kursus dijalankan dalam tempoh tiga bulan di mana peserta mempelajari teori asas selama tiga minggu di Kolej Ketengah manakala sembilan minggu lagi didedahkan dengan latihan praktikal di ladang kelapa sawit KHSB.

Beliau berkata, mereka yang mengikuti kursus akan disediakan kemudahan tempat penginapan, makan dan minum secara percuma selain mendapat wang saku sebanyak RM300 sebulan.

“Sebaik sahaja tamat kursus, perantis akan ditawarkan kontrak pekerjaan selama dua tahun di ladang kelapa sawit milik KHSB dengan bayaran gaji bulanan RM2,000 dan ke atas bergantung kepada produktiviti.

“Semua warganegara boleh memohon dan keutamaan diberikan kepada penduduk di Wilayah Ketengah,” katanya.

Mereka yang berminat untuk mengikuti KPOLKS boleh mendapatkan maklumat lengkap di laman sesawang Kolej Ketengah di www.kolejketengah.edu.my atau boleh hubungi Kolej Ketengah menerusi talian 011-62548080.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!