Nota terakhir pesakit Covid-19 runtun hati netizen

Hantaran Fika Maira yang mendapat reaksi lebih 1,000 orang dan turut dikongsi lebih 430 orang.
Hantaran Fika Maira yang mendapat reaksi lebih 1,000 orang dan turut dikongsi lebih 430 orang.
A
A
A

IPOH - 'Tolong doa dan terus solat hajat, abah minta maaf'. Itulah pesanan terakhir seorang pesakit koronavirus (Covid-19) sebelum menghembuskan nafas terakhir di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) kelmarin.

Gambar nota tulisan tangan terakhir dikongsi anaknya menerusi Facebook Fika Maira itu sangat meruntun jiwa netizen yang turut sama bersimpati.

Dalam hantaran itu, Fika Maira berkongsi maklumat mengenai urusan pengebumian jenazah bapanya apabila beliau menjadi wakil keluarga untuk menyaksikan dari jauh upacara pengebumian yang disempurnakan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Bendahara di sini.

Dia turut meluahkan rasa sayu apabila berkongsi dua nota terakhir ditulis bapanya di atas kertas yang ditunjukkan petugas kesihatan iaitu 'Tolong doa dan terus solat hajat, abah minta maaf, jaga diri semua'.

"Selesai sudah semua urusan pengebumian abah pagi tadi. Alhamdulillah sempat sampai dan jadi wakil keluarga tengok abah disimpan walaupun dari jauh. Alhamdulillah semua urusan pun ALLAH mudahkan.

"Semoga ALLAH ampunkan abah, beri kelapangan pada abah, dilepaskan dari seksa kubur, dimasukkan dalam kalangan orang beriman," katanya menerusi hantaran tersebut.

Hantaran Fika Maira yang mendapat reaksi lebih 1,000 orang dan turut dikongsi lebih 430 orang.
Hantaran Fika Maira yang mendapat reaksi lebih 1,000 orang dan turut dikongsi lebih 430 orang.

Sementara itu, bercakap kepada sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris, pemilik akaun Facebook tersebut, Syafiqa Humairak, 32, yang merupakan anak sulung kepada pesakit yang meninggal dunia itu, bapanya, Ahmad Mohamad Talib, 58, disahkan positif Covid-19 pada Khamis minggu lalu sebelum dimasukkan ke HRPB untuk menjalani kuarantin dan rawatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, bagaimanapun Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 18 November selepas doktor mendapati tiada perkembangan positif dan memberinya ubat penenang.

Syafiqa Humairak berkata, nota tersebut ditulis sendiri oleh bapanya sebelum diberikan ubat penenang dan berada di dalam keadaan koma.

Menurutnya, semua ahli keluarga termasuk anak saudara yang berusia satu bulan didapati positif virus tersebut dan kebanyakannya tidak dapat menghadiri pengebumian ayahnya.

"Saya satu-satunya ahli keluarga yang dapat menghadiri pengebumian. Sungguh menyedihkan kerana saya tidak dapat menciumnya untuk kali terakhir. Saya hanya dapat memerhatikannya dari jauh. Covid-19 bukan jenaka dan tidak ada yang kebal.

"Hanya satu minggu sahaja virus ini membunuh ayah saya. Saya harap orang ramai mengambil serius tentang virus ini dan mematuhi semua langkah pencegahan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan," katanya.

Sehingga kini, perkongsian Facebook Fika Maira itu mendapat lebih 1,000 maklum balas, hampir 300 komen dan 431 perkongsian.