ADUN lantikan berpotensi disalah guna: Fuziah

Fuziah Salleh
Fuziah Salleh
A
A
A

KUANTAN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan berpotensi disalahgunakan sekiranya mereka diletakkan di kawasan pembangkang.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pahang, Fuziah Salleh ketika mengulas berhubung keputusan kerajaan Pahang melantik lima ADUN lantikan yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang semalam berkata, sekiranya ADUN tersebut diberikan peruntukan sama dengan ADUN kerajaan dan dibenarkan memberi khidmat di kawasan ADUN PH, ia dilihat sebagai satu usaha untuk menjatuhkan suara pembangkang melalui 'pintu belakang'.

"Pada masa sama, ia juga dilihat sebagai satu tindakan yang membazirkan duit rakyat dalam keadaan rakyat memerlukan bantuan ekoran penularan pandemik koronavirus (Covid-19) yang masih melanda negara ketika ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun, jika ia digunakan untuk mengimbangi suara minoriti seperti melebihkan suara wanita, orang asli dan golongan orang kurang upaya (OKU), maka pelantikan itu dilihat sebagai langkah progresif dan demokratik.

Sehubungan itu, beliau menyarankan kerajaan negeri melantik tiga ADUN lantikan dari kalangan wanita untuk mengimbangi suara golongan itu di dalam DUN Pahang bagi membawa isu-isu wanita, keluarga dan masyarakat sekali gus dapat memperkukuh usaha mengarusperdanakan isu gender di negeri ini.

"Dua lagi ADUN lantikan perlu dilantik dari kalangan orang asli dan golongan OKU," katanya.

Beliau berkata, ADUN lantikan itu seharusnya boleh membawa suara warga minoriti tanpa sempadan daerah dan kecenderungan politik sambil memberitahu keikhlasan kerajaan negeri akan diukur rakyat melalui tindakan yang bakal dilakukan dalam melantik lima ADUN lantikan tersebut.

Semalam, DUN Pahang meluluskan usul Enakmen Undang-undang Tubuh Negeri Pahang bagi melantik lima ADUN lantikan tanpa melalui pilihan raya.

Artikel Berkaitan:

Usul dikemukakan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mendapat sokongan ADUN Barisan Nasional (BN) dan Pas, bagaimanapun ditolak barisan ADUN dari blok pembangkang.