X

Kindly register in order to view this article
!

Dua warga Myanmar ditahan melombong emas secara haram

Palong digunakan sindiket untuk proses menapis emas yang ditemui di tapak lombong haram disita untuk siasatan lanjut. - Foto JPNP
A
A

LIPIS - Dua lelaki warga Myanmar yang juga pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) ditahan kerana menjalankan kegiatan melombong emas secara haram di kawasan Hutan Simpan Ulu Jelai, Mukim Ulu Jelai di sini kelmarin.

Lelaki berusia 26 dan 30 tahun itu disyaki dalang kegiatan melombong emas menggunakan kaedah palong, pam air dan jentera.

Pegawai Pejabat Hutan Daerah (PHD) Lipis, Nor Shahrini Nordin Ahmad berkata, kegiatan itu berjaya dibongkar berpandukan keadaan air sungai yang keruh sebagai petunjuk awal.

Menurutnya, susulan petunjuk itu, anggota Unit Penguatkuasa PHD Lipis segera melakukan pemeriksaan dan serbuan.

"Anggota yang terlibat terpaksa berjalan kaki sejauh tujuh kilometer dan mengharungi dua anak sungai untuk sampai ke lokasi lombong haram di Sungai Kasai itu.

"Hasil serbuan itu, dua lelaki berkenaan berjaya ditahan manakala sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger, jengkaut, palong, enjin pam air dan enjin kuasa elektrik disita untuk siasatan lanjut," katanya.

Mengulas lanjut, Nor Shahrini berkata, siasatan mendapati sindiket terbabit menjadikan sepanjang Sungai Kasai sebagai lokasi kegiatan melombong emas secara haram.

"Mereka menggunakan jengkaut untuk mengambil tanah sebelum ditapis menggunakan palong besi bagi mendapatkan galian berharga itu.

"Dua lelaki ini dipercayai cukup berpengalaman dalam aktiviti itu dan mendapat sokongan beberapa individu lain yang bertindak menguruskan kegiatan itu," katanya.

Nor Shahrini berkata, PHD Lipis memandang serius kegiatan menceroboh hutan simpan di daerah ini oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi menjalankan kegiatan melombong emas secara haram.

"Tindakan tegas menanti sindiket terbabit kerana kegiatan haram mereka itu boleh menyebabkan berlakunya kejadian hakisan tebing sungai, aktiviti menebang pokok dan pencemaran sumber air.

"Justeru kami turut mengharapkan sokongan daripada masyarakat setempat untuk segera menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui terdapat kegiatan melombong emas secara haram.

"Melalui kerjasama ini dapat membantu menghalang aktiviti itu daripada terus berlaku kerana kegiatan melombong emas secara haram bukan sahaja menjejaskan alam sekitar malah turut merugikan kerajaan negeri,"katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!