X

Kindly register in order to view this article
!

Remaja 16 tahun mangsa terbaharu jangkitan rabies

Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun meninggal dunia akibat dijangkiti wabak rabies di Sarawak pada 11 November lepas. - Foto 123RF (Gambar kecil: Dr Noor Hisham)
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun meninggal dunia akibat dijangkiti wabak rabies di Sarawak pada 11 November lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes rabies terbaharu itu menjadikan jumlah kes penyakit itu yang menjangkiti manusia di Sarawak meningkat kepada enam bagi tahun ini dan kes ke-28 sejak wabak rabies diisytiharkan di Sarawak pada 31 Julai 2017.

“Individu itu meninggal dunia jam 3.45 petang di Hospital Umum Sarawak (HUS) dan disahkan dijangkiti virus rabies melalui ujian makmal yang dijalankan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada 12 November,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, individu berkenaan dimasukkan ke HUS pada 10 November selepas demam selama tiga hari, lemah pada bahagian anggota bawah badan dan menunjukkan tingkah laku agresif selain turut mengalami aerofobia dan hidrofobia.

“Siasatan mendapati tiada sebarang sejarah gigitan anjing atau haiwan lain berlaku dalam kes ini. Kes hanya mempunyai kesan cakaran yang telah sembuh di kaki kanan tetapi ahli keluarganya tidak dapat memberi perincian mengenainya.

“Beliau ada memelihara empat ekor kucing dan seekor anjing. Kesemua haiwan peliharaan beliau tidak pernah mendapat vaksinasi, namun sehingga kini haiwan peliharaan tersebut dalam keadaan sihat dan tiada perubahan tingkah laku,” katanya.

Beliau berkata, kematian akibat jangkitan rabies dapat dielakkan dengan mengambil langkah pencegahan seperti mencuci bahagian tubuh digigit anjing atau haiwan lain menggunakan air mengalir dan sabun selama 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur serta mendapatkan rawatan segera di klinik kesihatan atau hospital terdekat, jika digigit oleh haiwan peliharaan yang agresif atau anjing liar.

“Pastikan anjing peliharaan mendapat suntikan anti-rabies setiap tahun dari klinik haiwan terdekat dan elakkan ia bercampur dengan anjing atau haiwan liar dan laporkan kepada pihak berkuasa tempatan jika terdapat anjing liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal,” katanya.

Katanya, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak akan terus memantau situasi rabies di Sarawak dan berkongsi maklumat terkini berkaitannya dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sarawak dan DVS Malaysia bagi memastikan tindakan pencegahan dan kawalan rabies dilaksanakan dengan segera dan komprehensif.

“Kerjasama semua rakyat Sarawak amat diperlukan dengan mematuhi semua nasihat kerajaan dan pihak berkuasa bagi memastikan masalah rabies di negeri ini dapat dikawal. Jangan biarkan haiwan peliharaan berkeliaran atau membuangnya di kawasan awam,” katanya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Rabies di Sarawak ragut satu lagi nyawa


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!