X

Kindly register in order to view this article
!

Warga emas maut terperangkap dalam lumpur

Anggota bomba membuat penyelamatan awal dengan memberi bantuan pernafasan, namun mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
A
A

MELAKA - Seorang warga emas maut selepas dipercayai lemas akibat terperangkap dalam lumpur ketika membuat kerja-kerja semaian padi di Kampung Batang Tiga, Klebang di sini malam semalam.

Mayat mangsa, Ramli Samat, 68, temui dalam keadaan tertiarap di dalam sawah oleh ahli keluarganya yang keluar mencarinya kira-kira jam 7.40 malam selepas dia tidak pulang ke rumah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu, Penolong Penguasa Bomba Roslan Jalil berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.44 malam sebelum sembilan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, mangsa dipercayai pergi ke kawasan sawah bersama dua lagi rakannya, namun mereka pulang lebih awal selepas selesai kerja di sawah masing-masing.

"Mangsa dikatakan tidak pulang ke rumah walaupun hari gelap dan disebabkan risau, ahli keluarga mencari mangsa di sawah sebelum menemuinya dalam keadaan tertiarap dengan bahagian muka terbenam dalam lumpur, ” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Beliau berkata, setiba di lokasi kejadian ahli keluarga mangsa telah mengangkat dan memangku warga emas itu lebih awal dan pasukan bomba cuba memberi bantuan pernafasan sebelum turut dibantu oleh pasukan perubatan.

"Kita cuba membuat penyelamatan awal dengan memberi bantuan pernafasan, namun mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

"Mungkin juga mangsa cuba bangun selepas terjatuh, namun kita percaya faktor tanah yang lembap dan berair menyukarkannya untuk menyelamatkan diri," katanya.

Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Melaka untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!