Ringgit dijangka meneruskan momentum kenaikan

Ringgit berada dalam jajaran kecil pada sepanjang minggu ini kerana sentimen risiko telah dihadkan dengan lonjakan kes Covid-19 di peringkat global. - Gambar hiasan.
Ringgit berada dalam jajaran kecil pada sepanjang minggu ini kerana sentimen risiko telah dihadkan dengan lonjakan kes Covid-19 di peringkat global. - Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ringgit dijangka meneruskan momentum kenaikannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan berikutan pelabur menunggu pemangkin baharu susulan perkembangan positif vaksin koronavirus (Covid-19) dan peningkatan harga minyak, kata penganalisis.

Ketua Strategi Pasaran Global Axi, Stephen Innes berkata, ringgit berada dalam jajaran kecil pada sepanjang minggu ini kerana sentimen risiko telah dihadkan dengan lonjakan kes Covid-19 di peringkat global.

“AS terutamanya telah terjejas teruk dan jangkaan ekonomi terjejas dalam jangka pendek memberi kesan kepada sentimen pasaran sedang pesat membangun.

“Namun, pasaran akan menunggu rapat mesyuarat Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) yang sepatutnya akan terus mengurangkan paras semasa pengeluaran minyak yang dilihat memanfaatkan minyak dan ringgit berikutan Malaysia mempunyai hasil eksport minyak yang signifikan.

“Oleh itu, saya tidak terlalu berharap untuk melepasi julat semasa melainkan terdapat kejutan dalam perjanjian rangsangan AS,” katanya kepada Bernama.

Sehubungan itu, Innes berkata, ringgit didagangkan antara 4.0750 dan 4.1050 memandangkan beliau membayangkan harga minyak untuk diniagakan lebih tinggi pada minggu depan berdasarkan jangkaan keputusan daripada mesyuarat OPEC yang menyokong minyak.

Sementara itu, Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, sentimen bersedia mengambil risiko adalah agak ketara ketika ini, terutamanya didorong oleh berita mengenai vaksin.

“Pada masa yang sama, kes-kes baharu telah meningkat, manakala data ekonomi agak memuaskan.

Artikel Berkaitan:

“Ini menyebabkan dolar US mengalami penyusutan, justeru menyebabkan kenaikan dalam mata wang negara sedang pesat membangun termasuk ringgit,” katanya.

Pfizer, Biontech dan Moderna merupakan syarikat utama yang terlibat dalam pembangunan vaksin dan ia dijangka menerima kelulusan daripada pihak Pentadbir Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA) tidak lama lagi.

“Sekiranya ini berlaku, ekonomi seharusnya dapat beroperasi seperti biasa sebaik sahaja vaksin itu diperoleh.

“Jadi, itulah naratif utamanya. Bagaimanapun, yang dilihat agak mudah itu akan mengambil masa untuk diselesaikan. Oleh itu, pasaran akan memantau rapat perkara ini untuk memberikan pendapat dan strategi,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata, setakat ini ringgit seharusnya kekal positif dalam masa yang terdekat.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, ringgit meningkat berbanding dolar AS kepada 4.0900/0940 daripada 4.1220/1260 pada minggu sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Ia menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.0434/0479 daripada 3.0624/0668 pada Jumaat lepas dan meningkat berbanding euro kepada 4.8495/8559 daripada 4.8923/8995 sebelum ini.

Ringgit susut berbanding yen kepada 3.9399/9445 daripada 3.9918/9978 dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.4295/4360 daripada 5.4231/4313 sebelum ini. - Bernama