Jambatan Labuan harus tanpa tol

Sebarang cadangan PFI harus mengecualikan pembayaran tol oleh pengguna jalan raya jika jambatan menghubungkan Labuan dengan tanah besar Sabah siap kelak. (Gambar kecil: Yong Teck Lee)
Sebarang cadangan PFI harus mengecualikan pembayaran tol oleh pengguna jalan raya jika jambatan menghubungkan Labuan dengan tanah besar Sabah siap kelak. (Gambar kecil: Yong Teck Lee)
A
A
A

KOTA KINABALU - Sebarang cadangan Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) harus mengecualikan pembayaran tol oleh pengguna jalan raya jika jambatan menghubungkan Labuan dengan tanah besar Sabah siap kelak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik di Sabah, Datuk Yong Teck Lee berkata, objektif utama pembinaan jambatan itu adalah untuk mengurangkan masa perjalanan dan memaksimumkan keselamatan serta untuk kemudahan pelancong.

"Jambatan ini juga akan mengurangkan kos pengangkutan penumpang dan barang antara Labuan dan daratan Sabah.

"Dengan kata lain, jika adanya tol di jambatan Labuan akan menambah kos dan menambah kelewatan pengangkutan antara Labuan dan Sabah," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook beliau.

Teck Lee yang juga Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) berkata demikian bagi mengulas keputusan kerajaan untuk menggunakan kaedah PFI bagi projek pembinaan jambatan itu.

Beliau berkata, kerajaan kini telah mengumumkan pelawaan terbuka untuk menyerahkan kepada PFI daripada sektor swasta untuk membina jambatan itu.

"Cadangan itu mungkin memerlukan jalan raya dikenakan tol yang akhirnya akan mencemarkan objektif utama jambatan itu.

"Jadi, sebarang cadangan PFI harus mengecualikan tol jalan raya dikenakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata, Labuan dijadikan Wilayah Persekutuan pada 1984 berhak mendapat jambatan tanpa biaya tambahan.

"Ini adalah hutang kerajaan Persekutuan yang sudah lama tertangguh kepada rakyat Labuan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat Labuan.

"Tambahan pula, kerajaan Persekutuan harus memanfaatkan dana kerjasama Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei-Indonesia-Malaysia (BIMP-EAGA) China yang telah memperuntukkan pinjaman khas AS$5 bilion kepada negara-negara BIMP-EAGA pada 2019.

"Sabah berada di sempadan BIMP-EAGA dan berada di lokasi yang ideal untuk mendapat manfaat daripada dana BIMP-EAGA China, yang diuruskan oleh China Development Bank.

"Hanya 20 hingga 30 peratus daripada dana ini, berjumlah AS$1 hingga AS$1.5 bilion (atau RM4 hingga RM6 bilion) akan mencukupi untuk membina dan menyelesaikan jambatan tersebut," katanya.

Rabu lalu, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa kerajaan bersetuju pembinaan jambatan menghubungkan Labuan dengan tanah besar Sabah dilaksanakan secara PFI.

Beliau berkata, kementeriannya bersama Kementerian Kerja Raya dalam proses memuktamadkan terma rujukan untuk melaksanakan proses Permohonan Cadangan (RFP) yang dijangka dapat dikemukakan kepada syarikat berminat sebelum penghujung tahun ini.