Pemimpin APEC setuju bekerjasama perangi Covid-19

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (duduk tengah) ketika sesi bergambar pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi (AELM) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang diadakan secara maya malam tadi. - Foto Bernama
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (duduk tengah) ketika sesi bergambar pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi (AELM) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang diadakan secara maya malam tadi. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-27 menutup tirai semalam dengan 21 ekonomi anggotanya bersetuju untuk bekerjasama dalam memerangi pandemik Covid-19.

Antara bahagian kerjasama termasuklah penyelidikan dan pembangunan serta pengeluaran, pembuatan dan pengedaran ujian diagnostik, produk dan perkhidmatan perubatan penting, terapi dan vaksin, kata para pemimpin APEC dalam satu deklarasi bersama Deklarasi Kuala Lumpur 2020 yang dikeluarkan selepas mesyuarat secara maya itu.

Justeru, ekonomi-ekonomi APEC akan menekankan kepada sains, teknologi dan inovasi yang merupakan elemen penting kepada pemulihan pasca Covid-19 rantau ini.

Pemimpin turut menekankan kepentingan memudahcara akses yang saksama kepada vaksin yang selamat, berkualiti, berkesan dan mampu milik serta tindakan balas perubatan lain yang penting untuk menjaga kesihatan dan kesejahteraan rakyat, selain menggalakkan inovasi.

"Kami menyedari peranan imunisasi yang meluas terhadap Covid-19 amat penting untuk menamatkan pandemik ini," kata mereka.

Mengenai ekonomi digital, ekonomi APEC mengakui kepentingan pembangunan dan sumbangan teknologi digital dalam menjaga kesihatan rakyat dan melindungi rantau ini daripada ancaman kesihatan serta meningkatkan daya tahan dan kemampanan sistem kesihatan, sekali gus memacu ke arah perlindungan kesihatan sejagat.

Mereka juga akan berusaha untuk memastikan rantau ini dapat pulih daripada pandemik Covid-19 dan impak ekonominya.

"Kita memilih untuk terus mengemudi rantau ini ke arah pemulihan menerusi landasan pertumbuhan ekonomi yang kukuh, seimbang, inklusif, mampan, inovatif dan selamat.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan bersepadu dan kerjasama kita terbukti sebegitu penting sekarang bagi mengatasi cabaran Covid-19 serta mewujudkan peluang baharu dan ketara untuk kemakmuran semua,” kata mereka.

Selain menzahirkan rasa takziah terhadap mereka yang telah terjejas serta kehilangan insan tersayang akibat pandemik itu, para pemimpin terbabit juga sepakat mengakui keperluan mempertingkat langkah-langkah rangsangan bagi kelancaran pemulihan ekonomi serta mewujudkan pekerjaan.

"Kita turut mengakui keperluan untuk menyokong ekonomi-ekonomi sedang membangun dalam usaha memerangi pandemik Covid-19,” kata mereka.

Selain itu, kalangan ekonomi-ekonomi APEC akan bekerjasama bagi memastikan kelangsungan aliran perdagangan dan pelaburan dalam tempoh-tempoh mencabar ini. - Bernama