Lelaki hilang di laut, hanya barangan milik mangsa ditemui

Bagang milik majikan mangsa yang terletak di perairan Bengkoka, berhampiran Kampung Rosob, Pitas, Sabah.
Bagang milik majikan mangsa yang terletak di perairan Bengkoka, berhampiran Kampung Rosob, Pitas, Sabah.
A
A
A

KUDAT - Seorang lelaki hilang selepas keluar ke laut untuk melihat bagang majikannya yang terletak di perairan Bengkoka, berhampiran Kampung Rosob, Pitas malam tadi.

Mangsa, Hamlee Sinabill, 50, dikatakan keluar ke laut pada jam 7.30 malam tadi dan disedari hilang oleh ahli keluarganya kira-kira sejam kemudian apabila panggilan telefon tidak dijawab.

Ahli keluarga kemudian bertindak mencari mangsa di bagang terbabit namun mangsa tiada di lokasi.

Sebaliknya, hanya telefon bimbit, beg serta perahu yang dinaikinya ditemui sebelum ahli keluarga bertindak melaporkan kehilangannya kepada APMM pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Boon Chin Chau berkata, Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Kota Kinabalu menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira jam 9.30 pagi tadi.

Operasi SAR mangsa di perairan Bengkoka, Sabah dilakukan APMM hari ini.
Operasi SAR mangsa di perairan Bengkoka, Sabah dilakukan APMM hari ini.

"Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas keluar ke laut malam tadi dengan menaiki sampan serta tanpa memakai jaket keselamatan untuk ke bagang itu.

"Keluarga mangsa cuba menghubungi mangsa selepas tidak pulang ke rumah namun gagal dan bertindak mencarinya di kawasan bagang namun hanya barang kepunyaan mangsa ditemui manakala sampan yang dinaikinya ditemui hanyut di sekitar bagang terbabit," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Susulan kejadian itu, Chin Chau berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Kudat hari ini mengaktifkan operasi dan menyelamat (SAR) mangsa.

"Operasi diaktifkan pada jam 10.30 pagi tadi dengan keluasan meliputi lima batu nautika dari lokasi bagang.

"Selain aset Maritim Malaysia, usaha pencarian turut melibatkan aset dari Pasukan Polis Marin (PPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)," katanya.

Menurutnya, mangsa setakat ini belum ditemui dan operasi mencari mangsa akan disambung esok pagi.