X

Kindly register in order to view this article
!

Inilah tugasan paling berat

Baharom (dua dari kanan) bersama rakan setugas di Utusan Malaysia, Samsor Junet sewaktu menghadap Almarhum Sultan Ahmad Shah pada tahun 2001 di Pekan, Pahang.
A
A

DI TANGANNYA seperti ada satu magis.

Setiap apa yang disentuh jari-jemarinya pasti akan bertukar umpama emas yang berkilauan.

Sempurna, adalah satu perkataan yang paling sesuai untuk menggambarkan diri beliau.

Maka dengan gabungan anugerah bakat penulisan luar biasa, ketajaman menghidu berita dan gaya kepimpinan tersendiri, Datuk Baharom Mahusin membina sebuah legasi dalam dunia kewartawanan.

Mingguan Malaysia di tangan beliau pernah mencipta fenomena pada awal tahun 2000. Jualan akhbar itu boleh mencecah sehingga lebih 600,000 naskhah, satu rekod yang tidak mampu dipotong mana-mana akhbar sehingga ke hari ini.

Majalah MASSA yang mencatat jualan suram sekitar 4,000 naskhah, setelah mendapat sentuhan beliau pada tahun 2002 berjaya melonjakkan jualan sehingga lebih 9,000 naskhah.

Akhbar Kosmo! yang pernah tidak bergerak jualan hariannya pada angka 110,000 naskhah sehari, setelah ditransformasikan Baharom menambat hati pembaca dengan jualan sehingga lebih 200,000 naskhah sehari sekitar tahun 2011.

Dan kini di Sinar Harian, beliau hanya mengambil masa sekitar setahun setengah untuk meletakkan akhbar ini sebagai akhbar nombor satu di Malaysia.

Adiguru

Namun Selasa lalu, tepat jam 7.23 pagi di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Baharom meninggalkan legasi hebat itu untuk bertemu Sang Penciptanya.

Pemergiannya pada usia 54 tahun menyentuh hati ramai. Pemergian yang merupakan satu kehilangan yang amat dirasakan.

Banyak air mata yang tumpah saat mendapat berita sedih itu. Manakan tidak, pada sesiapa yang pernah mendapat asuhan Baharom, Allahyarham bukan sekadar seorang ketua. Beliau ibarat seorang adiguru yang sudah mendidik dan membentuk beratus-ratus wartawan di bawahnya.

Allahyarham (kanan) menjadi ketua dan guru kepada ramai wartawan.
Allahyarham (kanan) menjadi ketua dan guru kepada ramai wartawan.

Benar, ada yang mengungkap beliau sebagai seorang editor yang sangat tegas, bahkan ada wartawan yang tidak sanggup bekerja di bawahnya kerana Allahyarham sarat dengan idea ‘gila dan pelik’ yang kadangkala ibarat setinggi gunung.

Sebetulnya, saya mengenali Allahyarham sejak Oktober 2003 saat mula melaporkan diri sebagai wartawan kadet di majalah MASSA.

Hari pertama melapor diri kepada beliau akan saya kenang sehingga mati. Ini kerana ketika 10 wartawan baharu lain hanya melapor diri kepada editor majalah masing-masing dan boleh pulang tepat jam 5 petang, saya pula pada hari pertama itu sudah ‘didera’ Baharom.

Saya diminta untuk menyiapkan artikel berkaitan isu Chin Peng dan komunis untuk dijadikan muka depan majalah MASSA. Saya berjaya menyiapkan artikel pertama bertajuk ‘Komunis Melayu: Di mana mereka sekarang?’ Belum sempat mengangkat beg untuk pulang kerana jam sudah menuju 7 malam, Baharom meminta saya ke Kampung Selayang, Selangor pula untuk mencari seorang anggota polis yang pernah melawan komunis.

Majalah MASSA keluaran Oktober 2003 dengan tajuk muka depan berkenaan Chin Peng.
Majalah MASSA keluaran Oktober 2003 dengan tajuk muka depan berkenaan Chin Peng.

Di tangan saya hanya diberikan nama polis pencen itu, Pak Kadir tanpa sebarang alamat rumah.

Saya terpaksa mengetuk pintu demi pintu rumah di kampung itu walaupun jam sudah pukul 8 malam. Hanya selepas hampir 10 pintu rumah barulah saya bertemu dengan bekas anggota polis pencen berusia 80 tahun tersebut. Saya balik ke pejabat mengetuk artikel berkenaan sebelum pulang jam 12 tengah malam.

Itulah kisah permulaan kami. Sebuah permulaan antara seorang editor dengan wartawannya, seorang adiguru dengan anak muridnya dan seorang ayah dengan ‘anaknya’.

Sebuah kisah ‘deraan’ yang akhirnya membentuk siapa saya hari ini. Dan saya pasti sekalian wartawan muda yang pernah dilatihnya, mempunyai pengalaman yang hampir sama dikerah bekerja dengan kuat.

Tetapi bagaimana mungkin untuk kita merungut dan mengeluh, kerana selama 17 tahun saya menjadi wartawan di bawah beliau dari MASSA ke Kosmo! sehinggalah Sinar Harian saya menjadi saksi betapa beliau sendiri begitu komited dengan kerja.

Beliau boleh masuk ke pejabat pada jam 9 pagi dan pulang kerja jam 12 tengah malam. Sewaktu di Mingguan Malaysia dan MASSA, beliau tidak kisah bermalam di opis sambil tidur di kerusi selama beberapa jam, sebelum meneruskan kerja sehingga keesokan harinya.

Allahyarham juga sewaktu di Kosmo! dan Sinar Harian sebenarnya seperti tidak mempunyai hari cuti kerana beliau bekerja hampir setiap hari. Hampir setiap hari beliau akan duduk di kerusi hitamnya untuk menyunting setiap berita di atas kertas. Ya itu memang stail beliau. Setiap muka surat akhbar yang penting harus dicetak dan diletakkan dulu di atas mejanya untuk disunting.

Begitulah kesempurnaan Baharom dalam setiap kerjanya.

Pencinta makanan

Bagi yang akrab dengan Baharom, pasti mengetahui beliau memang seorang kaki makan. Kalau keluar ke mana-mana tugasan bersama beliau, mesti kena singgah makan di mana-mana. Dan peliknya beliau mengetahui begitu banyak tempat makan sedap termasuk di luar Lembah Klang.

Malah, beliau gemar menjadikan meja makan sebagai tempat menyelesaikan masalah. Daripada sesi ‘memerah’ otak, mengeratkan silaturahim malah menyejukkan hati wartawannya yang baru kena marah.

“Tidak mahulah mesyuarat di pejabat, jom kita mesyuarat sahaja di restoran Datuk Hakim (Restoran Hakim Shah Alam),” itu antara cara unik Allahyarham bermesyuarat dengan kakitangannya.

Sesungguhnya jasa beliau kepada saya terlalu besar. Allahyarham membawa saya ke mana sahaja beliau pergi. Dia mengarahkan saya meletakkan jawatan di UKSB supaya saya boleh bertugas di Kosmo!. Dua tahun lalu dia juga menasihatkan saya mengambil skim pemisahan sukarela (VSS) ditawarkan Kumpulan Utusan untuk berhijrah ke Sinar Harian.

Sepanjang 17 tahun menjadi wartawan Baharom, sudah beratus-ratus tugasan juga telah diberikan beliau kepada saya daripada membelah lautan sehinggalah mendaki Gunung Kinabalu. Tetapi Selasa lalu, tugasan terakhir Baharom kepada saya dan rakan-rakan adalah yang paling berat.

Mengurus dan membawa pulang jenazah Allahyarham pulang ke negeri abadi adalah tugasan yang tidak mudah.

Tetapi seperti mana saya menguruskan jenazah arwah ayah saya 15 tahun lalu, saya menunaikan amanah untuk menguruskan jenazah adiguru saya.

Inilah bakti terakhir kami buat ‘ayahanda’ kami. Menjalani hari-hari tanpa mu memang tidak mudah, namun di ruang rindu kita pasti akan bertemu. Al-Fatihah


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!