Baiki mekanisme pilihan raya

No Image Caption
A
A
A

LIMA Pilihan Raya Kecil (PRK) dan satu Pilihan Raya Negeri (PRN) di sebalik pandemik koronavirus (Covid-19). Kesemuanya tidak dijangka sementara negara sedang bergerak aktif untuk memerangi jangkitan virus yang membadai satu dunia.

Menjelang hari penamaan calon PRK Batu Sapi di Sabah, kekosongan luar jangka turut berlaku membabitkan kerusi Parlimen Gerik di Perak dan satu lagi di Bugaya, Sabah.

Proklamasi darurat yang membolehkan PRK Parlimen Batu Sapi pada 5 Disember ini dibatalkan. Dari satu sudut, memang sudah dijangka kerana tiada pilihan kecuali mengambil langkah menguatkuasakan darurat. Mengikut kes contoh lima dekad yang lalu, hanya melalui pengisytiharan darurat sahaja pilihan raya boleh ditangguhkan.

Maka, keperluan itu telah diberi perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan satu ordinan dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) Perkara 150.

Lima sebab digariskan berhubung keputusan melibatkan PRK Batu Sapi. Kerajaan mengambil kira faktor ancaman kesihatan awam kerana pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika PRN Sabah sangat lemah, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bakal berdepan kekangan untuk mendapatkan petugas pilihan raya kerana ramai yang bimbang ancaman Covid-19, pergerakan rentas daerah petugas dan pengundi tidak dapat dielakkan sekali gus meningkatkan risiko penularan Covid-19, risiko jangkitan Covid-19 dalam kalangan pengundi mencetuskan kebimbangan terutama dalam kalangan pengundi warga emas dan jika penularan sekali lagi berlaku, ia bakal menjejaskan kehidupan sosial dan ekonomi penduduk di Batu Sapi serta daerah Sandakan.

Sejak kekosongan luar jangka itu, banyak parti utama telah mengumumkan pendirian tidak bertanding di Batu Sapi. Pun begitu, laporan media menggambarkan kemungkinan besar akan ada persaingan jika proses penamaan calon diteruskan.

Begitu juga di kawasan Gerik dan Bugaya yang perlu mengadakan PRK. Ada pihak mengesyorkan parti yang menyandang diberi ruang mengekalkan kerusi. Banyak pihak menyambut baik keputusan membatal dan menangguhkan PRK Batu Sapi termasuklah SPR dan Ketua Pengarah Kesihatan.

Pada masa yang sama, terdapat pandangan sebaliknya yang melihat keputusan darurat tidak wajar dan bimbang semangat demokrasi terjejas.

Artikel Berkaitan:

Sudah tiba masanya kita melihat kepada kajian semula mekanisme pengurusan pilihan raya apabila berhadapan pandemik kesihatan dan apa juga bencana serta malapetaka.

Perundangan Selain fokus SOP, perlu ada persediaan bagi menggubal kerangka perundangan yang relevan agar SPR boleh mengendalikan pilihan raya dengan efektif demi manfaat, kepentingan dan keadilan bersama.

Kerangka perundangan semasa hanya memberi SPR kuasa menguruskan pilihan raya dengan badan bebas itu wajib mengadakan pilihan raya apabila wujud kekosongan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan. Bagaimanapun, tiada peruntukan bagi menangguhkan pilihan raya. Sudah sampai masanya segala perundangan semasa perlu disemak semula termasuklah akta berkaitan pilihan raya dan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Covid-19 telah membekalkan pengalaman amat berguna untuk memperbaiki sistem, proses dan mekanisme pilihan raya sedia ada. Kita wajar memulakan perbincangan dengan parti politik yang berdaftar dengan SPR ke arah itu.

Sebelum ini, Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) melontarkan idea agar beberapa peruntukan baharu diperkenalkan dengan tujuan mengatasi segala kekurangan yang boleh mengganggu-gugat suasana pilihan raya demokratik.

ERC juga berpandangan ciri-ciri asas pilihan raya demokratik tidak boleh diabai dan kaedah yang sempurna mengikut undang-undang yang ada tidak harus diketepikan semata-mata untuk menyelesaikan sesuatu pilihan raya.

Satu persekitaran pilihan raya yang kondusif perlu disediakan, bukan sahaja kepada parti politik dan calon bertanding tetapi juga kepada pemilih yang mempunyai hak sebagai warga sebuah negara yang mengamalkan pilihan raya demokrasi. Semua pihak berkepentingan perlu terbuka dalam perkara tersebut. Ia wajar disegerakan.

* Dr G Manimaran ialah bekas editor akhbar dan portal berita nasional. Beliau kini terlibat dalam organisasi yang membuat syor untuk penambahbaikan sistem pilihan raya di Malaysia