40 sukan bakal dipertandingkan di Vietnam 2021

Mohamad Norza
Mohamad Norza
A
A
A

Sebanyak 40 jenis sukan bakal dipertandingkan pada Sukan SEA 2021 yang dijadual dari 21 November hingga 2 Disember tahun depan di Vietnam.

Keputusan itu diputuskan pada mesyuarat Ahli Majlis Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) bersama Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Vietnam yang diadakan secara maya hari ini.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, mesyuarat itu bersetuju menambah acara tenpin boling daripada 11 jenis sukan yang dipohon oleh MOM sebelum ini.

“Antara perdebatan hangat sewaktu mesyuarat itu adalah penyenaraian sukan hoki dalam dewan yang dicadangkan oleh tujuh Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) telah ditolak pihak penganjur, selain pertikaian berhubung ketiadaan sukan polo air yang merupakan sukan wajib dipertandingkan di peringkat Sukan SEA,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat itu.

Mohamad Norza bagaimanapun memaklumkan sukan polo air dan hoki dalam dewan masih berpeluang untuk disenaraikan pada Sukan SEA 2021, namun bergantung kepada perbincangan lanjut di antara pihak penganjur dan kerajaan Vietnam.

Ditanya mengenai punca 10 jenis sukan dipohon MOM ditolak pihak penganjur, Mohamad Norza berkata, ia diputuskan selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk kekangan peruntukan, ketiadaan persatuan sukan kebangsaan di negara berkenaan, selain ketiadaan fasiliti.

Pada Julai lepas, MOM telah menghantar rayuan kepada SEAGF untuk menyenaraikan tambahan 11 jenis sukan iaitu hoki dalam dewan; bola jaring; pelayaran; tenpin boling; skuasy; boling padang; kriket; ragbi tujuh sebelah; papan selaju; floorball; dan sambo (sukan bela diri tanpa senjata dari Rusia).

Jawatankuasa Eksekutif SEAGF yang bersidang pada pertengahan Oktober lalu, dilapor bersetuju menambah empat lagi acara daripada senarai awal 36 jenis acara yang diputuskan pihak penganjur pada Julai lalu iaitu triathlon; tenpin boling; jiujitsu; dan sukan elektronik.

Artikel Berkaitan:

Pada Sukan SEA 2019 di Filipina sebanyak 56 jenis sukan melibatkan 530 acara dipertandingkan dengan Malaysia menduduki tangga kelima daripada 11 negara bertanding setelah meraih 56 pingat emas, 57 perak dan 71 gangsa. - Bernama