Ubah arang jadi intan

A
A
A

DATUK Baharom Mahusin meninggal dunia Selasa lalu ketika beliau berada di puncak kerjayanya sebagai Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian.

Allahyarham berusia 54 tahun. Pemergiannya ditangisi, namun sebagai seorang mentor yang hebat, legasi ilmu dan pemikirannya kekal menjadi pedoman.

*Cari jalan, bukan alasan

“Cari jalan” adalah ungkapan sinonim Baharom. Beliau mengajar orang di sekelilingnya bahawa tiada perkara mustahil untuk dicapai dalam hidup. Asal ada kemahuan, di situ ada jalan.

Dalam kerjaya wartawan, dua perkara yang dianggap paling kritikal adalah masa dan sumber berita. Baharom sentiasa mahukan berita yang segar dan besar. Kalau ada berita baru masuk pada jam 10 malam sedangkan akhbar sudah sedia untuk dicetak, beliau akan suruh juga cari jalan bagaimana berita itu boleh dipakai.

*Bina rangkaian persahabatan

Dalam kalangan rakan-rakan wartawan, kehilangannya amat dirasai. Ini kerana arwah seorang yang suka membina rangkaian persahabatan. Ramai kawannya ialah orang yang pernah beliau temu bual sepanjang hampir 30 tahun terlibat dalam bidang kewartawanan.

Beliau juga sering ingatkan wartawan baharu supaya berkawan dengan contact iaitu sumber berita sampai boleh bersantai minum kopi bersama mereka. Sebagai wartawan, contact seperti pegawai polis dan presiden persatuan sangat penting untuk mendapatkan berita-berita bernilai tinggi.

Artikel Berkaitan:

Namun, Baharom sendiri bersahabat tanpa syarat. Belanja makan dan beri cenderahati adalah cara beliau menyuburkan persahabatan yang terjalin. Pernah sekali pada bulan Jun lalu, beliau menghantar nasi dagang yang dimasak isterinya kepada seorang sahabat yang sakit. Beliau sanggup menggunakan khidmat Grab untuk menghantar makan tersebut dari rumahnya di Bandar Utama, Petaling Jaya ke Keramat, Kuala Lumpur.

*Mengembara cetus idea

Baharom seorang yang suka mengembara. Semasa menjadi koresponden Utusan di London pada 1990-an lagi, beliau telah menjelajah Eropah bersama keluarganya dengan menaiki kereta api.

Tetapi kembara Baharom bukan untuk berseronok dan berhibur semata-mata. Apa yang dilihat dan dilalui atau siapa yang ditemuinya, sering mencetuskan idea-idea baharu kepada dirinya. Beliau seorang yang sentiasa berfikir, maka kembaranya tidak dilakukan tanpa tujuan.

Suatu hari pada 2009, beliau yang ketika itu Pengarang Kosmo! buntu memikir satu nama yang sesuai untuk sisipan baharu dalam Kosmo! Ahad.

Lalu beliau mengajak Tok Ki ‘jalan-jalan’ di KLCC pada waktu tengah hari. Beliau memandu sendiri dari pejabat di Jalan Chan Sow Lin ke Ampang Park, sebelum naik LRT ke KLCC. Di situ, kami masuk ke sebuah kedai buku dan bergerak dari satu kedai ke satu kedai yang lain. Dalam perjalanan balik, beliau terus dapat idea untuk namakan sisipan baharu itu.

*Ubah arang jadi intan

Makin beliau percayakan seseorang, makin banyak tugas dan arahan akan diberikan kepada orang berkenaan. Ia kedengaran sarkastik namun itulah cara beliau melatih orang bawahannya. Menggilap bakat seorang wartawan yang entah siapa-siapa menjadi penulis berwibawa sering menjadi impian beliau.

Beliau percaya manusia perlu dilatih dari masa ke masa untuk mengasah kemahiran dan membina keperibadian. Kata beliau: “Wartawan kalau tak dilatih, editor letih.”

*Kerja sungguh-sungguh

Tok Ki tak pernah jumpa orang yang sangat kuat bekerja macam Baharom. Beliau boleh bekerja 12 jam sehari, 7 hari seminggu, 365 hari setahun.

Sebagai pengarang akhbar, tugas utama beliau adalah memastikan bahan-bahan yang akan disiarkan menarik untuk dibaca. Namun, kadangkala beliau juga terlibat dalam kerja-kerja promosi, iklan dan pemasaran yang bukan tugas hakiki beliau. Arwah sanggup berkorban demi kerjaya dan akhbar yang disayanginya.

Prinsip kerja Baharom ialah bukan setakat bekerja tetapi kerja bersungguh-sungguh. Sejak kali pertama mengenali Baharom 17 tahun lalu, Tok Ki lihat beliau bekerja seolah-olah dapat gaji RM20,000 sebulan sedangkan gajinya mungkin cuma RM5,000.

Itulah Baharom yang di tangannya dua akhbar berbahasa Melayu menjadi akhbar No. 1 di Malaysia - Kosmo! dan kini Sinar Harian. Tok Ki berdoa supaya ilmu dan teladan yang beliau tinggalkan akan dikira sebagai amal jariah yang mengalirkan pahala berpanjangan kepada arwah di alam sana.