Membela maruah insan

A
A
A

SELAIN membela maruah diri, kita juga perlu membela maruah insan yang lain. Jika kita tidak mahu maruah kita dikhianati, begitulah juga dengan orang lain. Jika kita rasa sedih dengan apa yang diperlakukan kepada kita, samalah juga dengan orang lain. Ia bermakna, kita perlu adil dan seimbang dalam menjaga maruah insan.

Persoalannya, sejauh mana maruah insan terbela? Sehingga kini mekanisme itu tidak berfungsi dengan sempurna kerana masih ramai yang teruja menjaga maruah diri dan meminggirkan maruah orang lain.

Walaupun parameter maruah insan cukup luas untuk dibicarakan, namun memadailah dengan membataskan skop maruah insan kepada hak mendapatkan keadilan ekonomi, kemudahan asas dan pendidikan. Sebetulnya, penangan wabak koronavirus (Covid-19) ‘mencalarkan’ lagi maruah insan.

Mereka yang susah semakin susah. Jika dahulu tidaklah sampai meminta-minta, namun demi kelangsungan hidup, mereka sudah hilang rasa malu meminta-minta dengan orang lain.

Hakikatnya semakin ramai yang hidup susah sekarang. Ramai yang hilang pendapatan. Sesungguhnya, mereka telah kehilangan punca dan tiada arah untuk dituju. Ditambah pula dengan emosi yang bercampur-gaul menyebabkan mereka berasa malu dan sensitif serta maruah diri mula tercalar.

Berkaitan hal itu, ALLAH SWT telah berfirman: “Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana ALLAH lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa juga) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada ALLAH, sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah Al-Maidah, 5:8).

Begitu juga dengan kemudahan asas, soal kebersihan dan ketiadaan air masih tidak berkesudahan. Tidak termasuk lagi kemudahan jalan raya, jambatan dan elektrik. Malah, fenomena pembelajaran secara atas talian menampakkan lagi kepincangan pihak berkenaan kerana gagal menyediakan infrastruktur adil kepada mereka. Pendek kata, usaha memanjat pokok dan bukit telah menjadi norma baharu pula.

TerjejasBerkaitan pendidikan, pada hemat saya, banyak yang terjejas untuk mendapat akses pendidikan sempurna. Malah penutupan sekolah berbulan-bulan dan pembelajaran secara atas talian berkonsepkan home-based learning melebarkan lagi jurang akses pendidikan. Berkaitan dengan penilaian dan peperiksaan, tidaklah begitu dikhuatiri kerana ada mekanisme untuk mengukur dan menilai keupayaan pelajar, namun apa yang dikhuatiri adalah kadar literasi murid sekolah rendah akan meningkat. Bagi membela maruah mereka dalam mendapatkan ilmu, hal itu perlu dipandang serius oleh pihak berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Ingatlah, kita perlu bersungguh-sungguh menjaga maruah insan selaras dengan sabda Rasulullah SAW ketika khutbah akhir pada hari perpisahan Hajjatul-Wida’: “Wahai manusia seperti mana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap Muslim sebagai amanah suci. Kembalikanlah harta yang diamanahkan kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapa pun agar orang lain tidak menyakiti kamu pula. Ingatlah sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan akan membuat perhitungan terhadap segala amalan kamu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Pun begitu, membela maruah insan bukanlah tanggungjawab kerajaan semata-mata, sebaliknya kita semua akan dipersoalkan nanti di hadapan ALLAH SWT. Justeru, kita seharusnya membesarkan kebaikan, bukannya besar diri.

* Prof Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis