Pekerja ladang lemas terjatuh dalam sungai

Anggota bomba membawa mayat pekerja ladang yang terjatuh dan ditemukan di Sungai Pengeli, Bandar Tenggara, Kota Tinggi hari ini.
Anggota bomba membawa mayat pekerja ladang yang terjatuh dan ditemukan di Sungai Pengeli, Bandar Tenggara, Kota Tinggi hari ini.
A
A
A

KOTA TINGGI - Seorang pekerja ladang lemas akibat terjatuh dalam sungai di Ladang Pekan Layang-layang, Kluang dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, M Anbarasana, 39, yang bekerja sebagai pemetik buah kelapa sawit sendirian di ladang tersebut.

Dia dipercayai tergelincir lalu terjatuh sebelum dihanyutkan dalam sungai tersebut.

Seramai 21 ahli daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam serta BBP Kota Tinggi dengan dua jentera Fire Rescue Team (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.

Komander Operasi dari BBP Renggam, Penolong Penguasa Bomba Asyraf Nur Mohd Yusoff berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mengambil masa kerana mangsa dihanyutkan dalam arus deras.

"Setelah membuat pencarian di kawasan sungai menggunakan teknik 'water surface' dan 'skindive', mangsa ditemukan di bahagian dasar tepi sungai tersangkut pada tunggul kayu pada kedalaman lebih kurang enam kaki.

"Mangsa ditemukan pada jam 12.15 tengah hari di Sungai Pengeli, Bandar Tenggara di sini. Mangsa dihanyutkan dari sungai di ladang itu hingga ke Sungai Pengeli," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan dilakukan Pegawai Perubatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia sebelum diserahkan kepada pihak polis.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, operasi SAR tersebut tamat pada jam 1.35 petang.