Syor pinda akta pilihan raya

A
A
A

PANDEMIK koronavirus (Covid-19) mengubah banyak perkara dalam kehidupan manusia. Ia bukan sahaja telah melahirkan pelbagai kebiasaan baharu, malah turut membawa banyak pengalaman berharga pada masa hadapan. Walaupun banyak kesan negatif, namun masih ada aspek positif di sebalik musibah itu.

Sebagai pemerhati politik, Covid-19 ternyata memberi impak terhadap sosio-politik negara. Daripada perihal politik kepartian dan pilihan raya, demokrasi berparlimen sehinggalah sistem perundangan, ia kembali dekat dalam fikiran ramai disebabkan Covid-19.

Ramai tahu peri pentingnya institusi diraja dalam sistem politik. Paling tidak pun, mereka sudah faham maksud strong and formidable numbers yang hangat diperkatakan semasa kecelaruan politik angka di Parlimen. Malah, perkataan seberat darurat juga menjadi topik ‘membawang’ yang sebelumnya terlalu asing.

Darurat tidak lagi menjadi bicara eksklusif khusus dalam kalangan pengamal undang-undang atau cendekiawan hukum sahaja.

Ada bagusnya darurat Batu Sapi. Selain menimbulkan kesedaran dan meningkatkan kepekaan massa, ia juga patut membuka peluang untuk kita kembali memikirkan aspek terpenting yang membawa kepada darurat – menghalang penularan Covid-19 disebabkan pilihan raya.

Memang ada keperluan untuk itu selepas pengalaman Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September lalu tetapi untuk jangka panjang, menangguhkan pilihan raya adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku. Kalaupun ia mesti berlaku, sekurang-kurangnya perlu ada garis panduan khusus yang sah secara perundangan tanpa sebarang spekulasi negatif terhadap keputusan itu kelak.

Sebab itu, kes Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi, Gerik dan Bugaya wajar dijadikan asas untuk mengkaji undang-undang sedia ada. Ia bagi membolehkan pilihan raya ditangguhkan sementara disebabkan kecemasan tanpa perlu pengisytiharan darurat. Malah, mungkin sudah tiba masanya untuk kita pinda Akta Pilihan Raya 1958 (Akta 19) bagi membolehkan perkara itu dilakukan sekiranya negara berdepan sebarang krisis.

Penangguhan PRK Batu Sapi jelas memperlihatkan adanya keperluan untuk kerajaan meminda akta tersebut. Dalam hal itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ternyata terperangkap dalam dilema antara tanggungjawab dan perasaan serba salah disebabkan tiada akta membolehkan SPR menangguh atau menggunakan pendekatan lain untuk mengundi pada pilihan raya.

Artikel Berkaitan:

Peraturan

Ada beberapa peruntukan baharu yang mesti digubal segera bertujuan mengatasi keadaan yang mampu mengganggu persekitaran pilihan raya demokratik negara sebagai tunjang asas negara yang bebas, adil dan telus. Mana-mana individu, parti politik atau pengundi tidak boleh dibatasi oleh peraturan yang boleh dianggap menyekat mereka daripada menikmati dan melaksanakan hak serta tanggungjawab politik seperti termaktub dalam Perlembagaan.

Setakat ini, Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan hanya memberikan SPR kuasa mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari selepas disahkan ada kekosongan. Namun, tiada pula peruntukan membolehkan SPR menangguhkan mana-mana pilihan raya atas sebab-sebab mendesak seperti yang berlaku di Batu Sapi.

Untuk rekod, SPR telah menetapkan tarikh bagi penamaan calon dan hari mengundi untuk PRK Batu Sapi sebelum ia ditangguhkan selepas pengisytiharan darurat dibuat.

Kalaupun ia tidak boleh berlaku, mungkin kita sudah patut memikirkan kaedah baharu bagi mempermudahkan proses membuang undi. Jelas, PRN Sabah dan PRK di Chini dan Slim sebelumnya menunjukkan bahawa SPR perlu menimbangkan pengundian secara pos, dalam talian atau proksi sebagai alternatif pilihan.

Kalaupun tidak secara kekal, sekurang-kurangnya alternatif itu untuk sementara waktu mampu mempermudahkan urusan pengundi tanpa menjejaskan keselamatan diri, selain memastikan proses pilihan raya terus berfungsi dengan baik dan lancar.

*Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM)