Berkesankah cetak duit?

A
A
A

MENARIK juga sebenarnya perbincangan cetak wang yang dicadangkan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal. Pelbagai pendapat dan kritikan telah diutarakan di media sosial yang membuatkan saya mencari-cari apa sebenarnya isu mencetak wang.

Saya ada membuat pembacaan melalui artikel yang diterbitkan di luar negara. Saya boleh rumuskan bahawa cadangan cetak wang bukan sahaja melibatkan orang-orang biasa yang ‘bebal’ tetapi ramai juga pakar ekonomi yang bergelar profesor dan Doktor Falsafah yang membincangkannya.

Mereka berbalas hujah dan kritikan, maka saya rumuskan sekali lagi bahawa ia bukan isu biasa-biasa tetapi memang terdapat secara teori yang mungkin boleh dicadang pakai seperti teori ekonomi tradisional sebelum ini.

Melalui pembacaan saya dalam sebuah artikel yang diterbitkan Bloomberg Newsweek, cetak wang atau dipanggil Modern Monetary Theory (MMT), contohnya Ben Bernake, bekas Pengerusi Federal Reserves Amerika Syarikat pada tahun 2009 berkata: “Serupa sahaja pinjam duit dengan cetak duit. Memang kita kena buat, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang lemah tetapi inflasi rendah.”

Alan Greenspan juga memberitahu perkara serupa pada tahun 2005 tetapi saya terfikir, mungkin latar belakang ekonomi Amerika Syarikat dan kita berbeza.

Isu utama tentang perbahasan cetak duit ratanya-ratanya lebih bimbangkan inflasi. Inflasi dikatakan berlaku apabila kehilangan kuasa membeli secara amnya – duit banyak tetapi komoditi atau perkhidmatan yang hendak dibeli tiada.

Namun, yang menjadi pertanyaan dalam artikel tersebut adalah kenapa tidak berlaku inflasi ketika Ben Bernake mencetak duit AS$ 1 trillion ketika itu? Lebih menarik, kenapa Jepun yang berhutang 240 peratus hampir dengan KDNKnya masih tidak ada inflasi?

Maka, pendokong MMT telah berhujah menyatakan cetak duit sebenarnya tidaklah mendatangkan inflasi. Ada perkara lain sebenarnya yang menyebabkan inflasi tetapi bagaimana dengan Zimbabwe? Telah berlaku inflasi melampau ketika Mugabe mencetak wang untuk pembiayaan tenteranya.

Artikel Berkaitan:

Kata pendokong MMT lagi, sebenarnya kes di Zimbabwe jelas. Inflasi berlaku disebabkan Mugabe telah mengeluarkan arahan memaksa petani-petani untuk menyerahkan tanah kepada tentera untuk pertanian. Masalahnya, tentera tidak pernah bercucuk tanam.

Justeru, hasil pertanian merosot dan pengeluaran terbantut. Duit banyak tetapi tidak dapat dibelanjakan untuk membeli barang keperluan, maka nilai duit merudum yang menyebabkan inflasi.

Pendokong MMT menyatakan perlu ada keseimbangan antara mencetak duit dan pengeluaran komoditi. Jadi, apa sebenarnya fundamental MMT?

Saya lebih suka memetik satu artikel bertajuk Marxism Vs Modern Monetary Theory.

Artikel tersebut menyatakan kerajaan yang cetak duit tidak akan kehabisan duit kerana boleh cetak sahaja duit jika perlu membayar hutang, inflasi tidak akan berlaku jika kerajaan mewah berbelanja dan bergerak atas belanjawan defisit selagi ada pengeluaran komoditi yang produktif dalam ekonomi dan kerajaan tidak perlu mengenakan cukai terlebih dahulu untuk berbelanja kemudian tetapi belanja sahaja atas komoditi dan perkhidmatan, selepas itu ubah suai kutipan cukai.

Menarik juga idea MMT tetapi timbul pertanyaan lagi, adakah ia sesuai dilakukan di Malaysia? Jika sesuai, bagaimana mekanisme terutama apabila melibatkan keputusan kerajaan?

Setakat ini semuanya teori sahaja. Masih tiada negara melakukannya kecuali Amerika yang pada pendapat saya amat berlainan dengan cadangan MMT.

Untuk mengatakan MMT tidak akan berjaya, masih tiada sesiapa lagi yang secara muktamad untuk menafi atau mengiakannya.

Pada fikiran saya, katakan ia memang berkesan- melihat perangai ahli politik sama ada pembangkang atau kerajaan seperti susah hendak percaya. Bak kata pepatah Melayu, mereka seperti gaji dua mata. Disorong makan, ditarik pun makan juga.

*Penulis seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com