4,496 sampel Covid-19 di Sabah belum diproses

PKDP akan dilaksanakan bermula Ahad ini di K-Avenue, Megacity, Penampang di Sabah membabitkan kawasan tapak pembinaan berhampiran Kapayan. Gambar kecil Masidi
PKDP akan dilaksanakan bermula Ahad ini di K-Avenue, Megacity, Penampang di Sabah membabitkan kawasan tapak pembinaan berhampiran Kapayan. Gambar kecil Masidi
A
A
A

KOTA KINABALU - Sebanyak 4,496 sampel ujian koronavirus (Covid-19) di Sabah masih belum diproses dan 64 peratus daripadanya akan diproses di makmal di negeri ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, jumlah itu direkod sehingga semalam membabitkan sampel yang masih belum diproses.

"Sebanyak 64 peratus daripada jumlah itu akan diurus di Sabah manakala selebihnya akan diproses di makmal di Semenanjung Malaysia iaitu di Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan, Sungai Buloh dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) Kuala Lumpur serta makmal swasta yang lain," katanya dalam sidang akhbar di Wisma Innoprise di sini hari ini.

Mengulas perkembangan terkini saringan di Kampung Numbak dan penempatan Telipok yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Masidi berkata, seramai 2,433 penduduk telah disaring setakat semalam.

"Seramai 1,561 penduduk di penempatan Telipok telah disaring dan daripada jumlah itu, seramai 131 orang dilaporkan positif Covid-19 manakala 276 sampel ujian masih menunggu keputusan.

"Dalam tempoh yang sama, 872 penduduk di Kampung Numbak telah disaring dan daripada itu seramai 72 orang telah didapati positif Covid-19, manakala 113 sampel ujian masih menunggu keputusan," katanya.

Masidi dalam pada itu turut berkata, PKPD akan dilaksanakan di K-Avenue, Megacity, Penampang bermula Ahad ini membabitkan kawasan tapak pembinaan.

"Sehingga Isnin lalu, sebanyak 110 kes positif Covid-19 telah direkodkan di lokaliti berkenaan iaitu membabitkan kawasan tapak pembinaan berhampiran Kapayan.

Artikel Berkaitan:

"Atas nasihat dan penilaian risiko yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini bersetuju untuk melaksanakan PKPD bermula Ahad ini hingga 5 Disember depan.

"Pelaksanaan PKPD ini akan merangkumi pejabat, kuarters pekerja dan tapak pembinaan yang melibatkan seramai 400 orang penduduk. Prosedur operasi standard (SOP) PKPD ini adalah sama seperti PKPD lain yang dilaksanakan di Sabah sebelum ini," katanya.

Terdahulu, beliau turut memaklumkan Sabah mencatat sebanyak 512 kes baharu hari ini, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di Sabah adalah sebanyak 25,441 kes.

"Lahad Datu mencatat sebanyak 194 kes, diikuti Kota Kinabalu (71), Tawau (50), Tuaran (45), Sandakan dan Kudat masing-masing catat 40 kes manakala Papar (23).

"Penampang pula mencatat 14 kes, selain Beaufort (10), Kota Belud (7), Semporna dan Putatan masing-masing catat lima kes, Pitas (4) manakala Kota Marudu, Kuala Penyu, Tenom dan Ranau masing-masing catat satu kes," katanya.