Kaji semula arahan guru isi laporan PdPR, fokus isu internet: NUTP

Harry Tan Huat
Harry Tan Huat
A
A
A

SHAH ALAM - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengkaji semula arahan untuk guru melengkapkan Pelaporan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat berkata, gesaan tersebut dibuat kerana secara realitinya guru dan murid berhadapan dengan pelbagai kekangan untuk melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ketika ini.

Menurutnya, NUTP menerima maklum balas daripada guru yang memaklumkan bahawa bukan semua dalam kalangan mereka mempunyai capaian internet yang baik bagi memenuhi hasrat dan matlamat KPM.

“NUTP menerima maklum balas daripada akar umbi mengenai pengisian pelaporan ini. Antara yang diperbincangkan ialah KPM perlu memberi fokus mengenai masalah utama dihadapi guru dan murid dengan mengumpul data seperti keboleh capaian internet, kemampuan membeli data, kemudahan gajet dan jenis peranti digunakan.

“Ini kerana pelaporan di pihak sekolah sudah memadai dengan dipantau oleh pihak pentadbir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai surat permakluman KPM mengenai arahan untuk guru melengkapkan PdPR secara harian menggunakan pautan disediakan bermula 17 November hingga 17 Disember ini.

Sementara itu, Harry Tan berkata, persoalannya kini ialah sejauh manakah pelaksanaan berkenaan dapat memberi kesan positif kepada guru, murid, ibu bapa dan masyarakat umum.

“Adakah pelaksanaan ini hanya untuk pengumpulan data sahaja yang mana ia boleh diperoleh daripada pihak sekolah?” katanya.

Artikel Berkaitan: