Keputusan tamatkan PKPB di Johor legakan rakyat di negeri itu

HASNI MOHAMMAD
HASNI MOHAMMAD
A
A
A

JOHOR BAHRU - Keputusan kerajaan Pusat menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini kecuali daerah Kota Tinggi dan Mersing amat melegakan dan dinantikan rakyat.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, keputusan itu juga mencerminkan betapa kerajaan Persekutuan memahami suara hati rakyat khususnya saranan kerajaan Johor baru-baru ini supaya PKPB dilaksanakan secara bersasar.

"Ini diterjemahkan apabila PKPB secara bersasar dilaksanakan di kawasan yang masih mempunyai jangkitan tinggi iaitu di daerah Kota Tinggi dan Mersing.

"Bagi penduduk Kota Tinggi dan Mersing yang masih dikenakan PKPB, patuhilah semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan supaya penularan koronavirus (Covid-19) dapat dikawal dengan baik," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan penamatan pelaksanaan PKPB di beberapa negeri termasuk Johor kecuali Kota Tinggi dan Mersing.

Pada 10 November lalu, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Johor mengesyorkan PKPB dilaksanakan secara bersasar iaitu di kawasan kes tinggi dan zon merah sahaja yang mempunyai jangkitan tinggi Covid-19 dan bukan di seluruh negeri.

Menurut Hasni yang mempengerusikan mesyuarat tersebut, ini supaya pelaksanaannya tidak menjejaskan sektor-sektor ekonomi dan aktiviti harian rakyat di kawasan yang mempunyai jangkitan yang rendah.

Hasni berkata, walaupun PKPB ditamatkan mulai esok, namun kerajaan negeri ingin menasihatkan rakyat Johor supaya sentiasa mematuhi SOP dalam setiap urusan harian mereka.

Artikel Berkaitan:

"Ingatlah pandemik Covid-19 masih ada di sekeliling kita selagi vaksin atau ubatnya belum berjaya ditemukan. Justeru, bersama-samalah kita mengekang dan memutuskan rantaian penularan wabak ini," katanya.