Saya tak pernah isi borang PKR: ADUN Meru

Mohd Fakhrulrazi
Mohd Fakhrulrazi
A
A
A

KLANG - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar mengisytiharkan dirinya sebagai ADUN bebas yang akan menyokong perjuangan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mohd Fakhrulrazi berkata, beliau tidak bercadang membuat rayuan kepada Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor selepas Setiausaha Amanah Selangor, Ar Kamarul Hisham Yeop Hashim memaklumkan beliau telah keluar parti, Isnin lalu.

Beliau turut bercadang mengambil tindakan perundangan selepas spekulasi dirinya lompat parti ke PKR seperti yang disebarkan di media sosial telah menjejaskan nama baiknya.

"Saya tak pernah umum keluar parti (Amanah), namun saya akur dengan keputusan parti dan kini status saya sebagai ADUN bebas.

"Saya tak akan merayu dan tak akan kembali kepada Amanah. Saya tak buat salah dan saya dalam keadaan terpinga-pinga dengan situasi yang berlaku.

"Sehingga saat ini saya tak pasti sebab saya dikeluarkan daripada parti, tapi saya beranggapan ia disebabkan sebaran di media sosial berkenaan keahlian saya dalam PKR," katanya pada Live Facebook Borak Dahsyat - Ada apa dengan Meru, Sementa dan Selat Klang 2021, hari ini.

Mohd Fakhrulrazi berkata demikian menjawab persoalan moderator berhubung status beliau bersama Amanah selepas desas-desus mengaitkannya menyertai PKR.

Jelas beliau, pihaknya tidak pernah mengisi borang keahlian PKR seperti yang tersebar di media sosial, Ahad lalu.

Artikel Berkaitan:

"Terdapat pihak ketiga yang mendaftarkan keahlian menggunakan kaedah secara dalam talian yang saya tak turunkan tandatangan.

"Kebetulan saya terjumpa Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang memaklumkan saya diterima menjadi ahli dan saya sendiri terkejut," katanya.

Katanya, sebelum ini beliau mengambil pendekatan mendiamkan diri disebabkan isu tersebut merupakan spekulasi yang disebarkan melalui media sosial.

"Saya sendiri tidak melihat isi kandungan yang disebarkan itu. Saya sebenarnya tiada niat untuk keluar parti namun pendirian saya sekarang apa pun yang terjadi saya akan bersama Anwar, fokus saya adalah perkukuh Pakatan Harapan dan mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri," katanya.

Terdahulu, Ar Kamarul Hisham dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Mohd Fakhrulrazi telah keluar Amanah untuk menyertai PKR.

Menurut kenyataan itu, semua jawatan yang disandang oleh beliau terbatal serta-merta.