Pendapatan tukang urut OKU terjejas akibat Covid-19

Bakri (kiri) menerima sumbangan daripada Soon Hee (kanan) di PPR Taman Wahyu 2, Kuala Lumpur hari ini.
Bakri (kiri) menerima sumbangan daripada Soon Hee (kanan) di PPR Taman Wahyu 2, Kuala Lumpur hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang tukang urut orang kurang upaya (OKU) mendakwa pendapatannya terjejas akibat pandemik koronavirus (Covid-19) sejak Mac lalu.

Bakri Abd Latif, 44, yang lebih mesra dengan panggilan Pak Ngah berkata, mata pencariannya terjejas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan Mac lalu.

"Saya hendak mencari seorang pelanggan sehari pun susah, berbanding sebelum ini.

"Saya sedih dengan keadaan sekarang, namun saya perlu memikirkan cara untuk menyara kehidupan keluarga," katanya.

Beliau ditemui selepas menerima sumbangan daripada Pengasas Yayasan Winner Emperor Sedunia dan Winner Emperor Group, Datuk Seri Liow Soon Hee di Projek Perumahan Rakyat Taman Wahyu 2 di sini hari ini.

Menurutnya, selain mengurut sejak 20 tahun lalu, dia turut menambah pendapatan dengan menjadi penghibur jalanan atau 'busker'.

"Upah untuk khidmat urut adalah RM80 sejam. Saya guna khidmat e-hailing untuk pergi ke tempat pelanggan jika ada permintaan, namun upah urut dikenakan berbeza kerana ditambah kos perjalanan.

"Keluarga saya sekarang bergantung kepada bantuan bulanan daripada Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bakri tinggal bersama isterinya, Hidayah Othman, 45, juga OKU dan dua anaknya berusia 14 dan 18 tahun.

"Saya berterima kasih kepada Soon Hee yang menghulurkan sumbangan mesin basuh, kerusi roda dan barangan keperluan dapur," katanya.

Sementara itu, Soon Hee turut memberi sumbangan kerusi roda dan tilam kepada bekas polis Koperal Alias Mohd Ali, 57, yang menghidap strok dan mempunyai anak perempuan sakit barah payudara.