Covid-19: Kluster Mengketil di Kelantan membimbangkan

DR NOOR HISHAM
DR NOOR HISHAM
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Jangkitan Kluster Mengketil yang dikesan di beberapa daerah di Kelantan membimbangkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster berkenaan merebak dengan cepat sehingga ke Besut, Terengganu dalam tempoh beberapa hari sahaja.

"Dalam tempoh lima hari, kluster ini merekodkan sebanyak 41 kes aktif dan dikesan merentasi negeri iaitu di Besut, Terengganu," katanya.

Beliau berkata, tindakan proaktif telah diambil KKM berdasarkan penilaian risiko.

"Apa yang boleh kita lakukan sekarang ialah duduk di rumah dalam tempoh dua minggu dan sekiranya perlu keluar, patuhilah prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, jangkitan Covid-19 di Kelantan berpunca daripada individu dari zon merah yang pulang ke negeri itu.

"Kita lihat contohnya Kluster Iktisas, Kluster Cheras, Kluster Kaya dan sebagainya, jangkitan berlaku di Lembah Klang dan Negeri Sembilan. Tetapi mereka pulang ke Kelantan membawa jangkitan tersebut yang menjangkiti ahli keluarga serta komuniti," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya mengesan berlaku banyak pergerakan antara daerah yang menyebabkan Kluster Mengketil itu terus merebak.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya penduduk berada di rumah dalam tempoh dua minggu, insya-ALLAH kita boleh mengembalikan semula Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Kelantan," katanya.

Ditanya adakah KKM telah melakukan ujian makmal terhadap virus dari Kluster Mengketil bagi mengenal pasti ciri-cirinya, beliau berkata, kajian belum dilakukan.

"Kluster ini baharu saja dikenal pasti dan kajian akan memakan masa sehingga tiga minggu," katanya.

Setakat hari ini, Kelantan merekodkan sebanyak 73 kes aktif Covid-19.

Jangkitan Kluster Mengketil dikenal pasti di Kota Bharu, Tanah Merah, Kuala Krai dan Pasir Mas.

Ia berpotensi merebak ke lima daerah lagi berikutan pergerakan penduduk merentas daerah.

KKM mendapati jangkitan berlaku dengan cepat dalam kalangan ahli keluarga dan hampir kesemua mendapat jangkitan selepas salah seorang ahli keluarga disahkan positif Covid-19.

Kelantan diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula esok sehingga 6 Disember depan.