PRU15: UMNO sedia bertembung Bersatu di Selangor, kata Noh

Noh (duduk) ketika melakukan kunjungan dan lawatan di Pusat Kawalan PGA Bagan Pasir, Tanjong Karang hari ini.
Noh (duduk) ketika melakukan kunjungan dan lawatan di Pusat Kawalan PGA Bagan Pasir, Tanjong Karang hari ini.
A
A
A

TANJONG KARANG - UMNO Selangor bersedia bertembung dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, pertembungan itu tidak dapat dielak sekiranya Bersatu meletakkan calon mereka di kerusi ditandingi UMNO di negeri ini.

Bagaimanapun, katanya, UMNO Selangor akan memastikan calon parti itu tidak menentang Pas bagi mengelakkan kekalahan sama seperti dialami pada PRU14.

"Prinsip kita (UMNO) di Selangor jelas iaitu tidak mahu bertembung dengan Pas. Jika (Bersatu) hendak lawan (UMNO), kita bersedia," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melakukan kunjungan dan lawatan di Pusat Kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) Bagan Pasir, di sini hari ini.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, kerjasama UMNO dan Pas amat penting bagi meraih sokongan pengundi terutama majoriti Melayu.

"Di Selangor ini ada 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 14 kerusi Parlimen yang pengundinya lebih 50 peratus Melayu.

"Ini yang kita harapkan apabila calon daripada Muafakat Nasional (UMNO atau Pas) bertanding di kerusi terbabit, kita dapat meraih kemenangan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, UMNO dan Pas juga telah bersepakat serta menyelesaikan pembahagian kerusi Parlimen dan DUN di negeri ini bagi menghadapi PRU15.

"UMNO tidak akan bertanding di mana-mana kerusi ditandingi calon Pas.

"Dari segi agihan kerusi pula jika calon UMNO bertanding di dalam Parlimen, maka calon Pas pula diletakkan di kerusi DUN dan begitu juga sebaliknya asalkan tidak bertembung," katanya.