Atmosfera ekonomi Bumiputera

A
A

PENULIS ingin berkongsi petua dan resipi yang diperturunkan oleh Tun Daim Zainuddin, mantan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, semasa menyampaikan ucapan: Atmosfera Ekonomi Bumiputera Masa Hadapan di Universiti Teknologi Mara baru-baru ini. Ucapan yang cukup memberi sumber inspirasi dan meningkatkan semangat warga kampus, alumni serta Melayu dan Bumiputera.

Daim memulakan ucapan dengan mengimbau kembali sejarah penubuhan UiTM. Pada tahun 1965, kerajaan telah menganjurkan Kongres Bumiputera yang pertama dengan sokongan daripada Dewan Perniagaan Melayu. Mara adalah 'anak' kongres ini sehingga, ITM ketika itu ditubuhkan untuk memastikan orang Melayu boleh melarikan diri daripada cengkaman kemiskinan.

Satu-satunya penyelesaian jangka panjang untuk membasmi kemiskinan melalui pendidikan. UiTM, ditambah pula dengan pelbagai inisiatif DEB dilaksanakan oleh kerajaan sejak tahun 1970-an, telah membawa Bumiputera sinonim dengan UiTM.

Walaupun dengan DEB dan pelbagai dasar serta inisiatif untuk membantu, kita masih tinggal di belakang, dengan banyak tekanan kepada kerajaan untuk meneruskan dasar-dasar tindakan afirmatif itu supaya memberikan Bumiputera berkelebihan berbanding orang lain.

Menurut Daim, kita perlu bertanya kepada diri sendiri - jika masih belum berjaya selepas hampir 50 tahun dasar-dasar ini, di manakah jaminan bahawa lebih lama dasar yang sama akan menghasilkan keputusan berbeza? Dalam semangat ini, untuk mewujudkan Melayu berjaya, beliau menyeru kepada golongan muda Melayu untuk meneroka dan merancang apa yang diingini.

Tun Daim sebagai seorang mantan Menteri Kewangan dan juga ahli politik dan teknokrat serta ahli perniagaan tersohor berkongsi pengalaman serta menurunkan petua serta pedoman dalam hal ini.

Pertama, Ilmu Pelita Hidup. Kita mesti lebih berusaha mencari ilmu, dan terbuka untuk mendapatkan sumber ilmu. Ini adalah kata-kata semangat dan wasiat nenek moyang kita, nabi kita, bangsa kita. Nabi Muhammad saw bersabda: "Menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap orang Islam, lelaki dan perempuan". Dengan ilmu, kita akan memahami bagaimana untuk mendekati dan menyelesaikan masalah. Ini sejajar dengan wahyu pertama dibawa kepada Nabi Muhammad SAW oleh Jibril - Iqra' - Baca.

Bekerja keras: Habis akal, baru tawakal. Naik tangga dari bawah. Jika kita tidak melibatkan secara bersungguh dalam apa jua yang kita lakukan, mana mungkin kita dapat mengapai impian yang diingini. Maka keinsafan dan juga komitmen serta usaha diri sendiri merupakan resipi ampuh dalam menempah kejayaan.

Ceburi bidang perniagaan: Tun Daim memasuki perniagaan dan usaha pertamanya menemui kegagalan. Beliau kesal dan tidak berbangga dengan apa yang dialami dalam bidang perniagaan, tetapi beliau perlu mengakui bahawa ia adalah satu rahmat yang terselindung. Kegagalan adalah guru terbesar buat beliau.

Ketepatan masa: Masa itu emas. Bagi yang beragama Islam, kita diajar menunaikan solat mesti menurut waktu, lima kali sehari. Pada bulan puasa pula, kita berbuka puasa tepat mengikuti waktu. Malahan temu janji, waktu bekerja, dan menghadiri upacara perlu menepati waktu. Namun Melayu terkenal kerana tidak menepati waktu dan mengamalkan prinsip “janji Melayu” dan “jam karat”. Al-Quran (Surah Al-Asr) mengingatkan tentang masa tetapi kita tidak hirau.

Warga Global: Untuk menjadi warga global, perlulah belajar bahasa antarabangsa supaya kita boleh mendapat perspektif yang berbeza dan bercakap dengan orang dari tempat-tempat lain. Melayu dan Bumiputra tidak boleh selesa dan leka. Ramai orang Melayu seolah-olah terdesak dan hidup dalam gelembung (bubble). Kita mesti berfikiran terbuka. Jika tidak, kita akan berakhir seperti katak di bawah tempurung.

Warisan: Belajar daripada sejarah kita, warisan kita, dan orang-orang yang datang sebelum kita. Ambil iktibar daripada apa yang berlaku kepada kerajaan Melaka yang masyhur seantero dunia, tetapi tenggelam akibat sengketa sesama sendiri. Akhirnya, kita dijajah. Semoga kita tidak mengulangi kesilapan yang sama pada masa hadapan.

Thrifty / Saving (Jangan membazir): Sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Kita tidak perlu membazir, sama ada wang, masa, atau peluang. Negara kita kaya dengan sumber, dan banyak peluang dibuka untuk Bumiputera berjaya. Kita mesti merebut perubahan ini.

Kita diajar dalam Islam untuk bersyukur dengan apa yang kita ada, dan bantuan yang kita terima. Ingat mereka yang telah membantu anda, dan membantu orang lain sebagai balasan.

Menjadi baik untuk lain-lain: Menjadi seorang Muslim yang baik, Daim menasihatkan kita untuk tidak hanya membaca, tetapi juga memahami Al-fatihah dan mengamalkan ajaran. Mencari jalan benar yang membawa kepada kejayaan.

*Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman, Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.