NUFAM cadang serap kru kabin bantu barisan hadapan

NUFAM
NUFAM
A
A
A

SHAH ALAM - Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) memohon kerajaan agar mempertimbangkan cadangan mereka supaya menyerap kakitangan kru kabin yang diberhentikan kerja ke dalam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sekretariat NUFAM dalam satu kenyataan berkata, ia bertujuan untuk membantu dan menampung kakitangan barisan hadapan yang mungkin tidak mencukupi dalam menangani kes pandemik koronavirus (Covid-19) yang sedang meningkat tinggi di dalam negara.

“Semua kakitangan terbabit telahpun dilatih sepenuhnya dan mereka mempunyai pengalaman yang cukup luas untuk membantu barisan hadapan kerajaan.

“Dengan adanya peluang ini, kakitangan kru kabin boleh membantu mana-mana bahagian barisan hadapan termasuklah polis bantuan dan juga Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

“Mereka sudah dilatih dari segi mental dan fizikal untuk menjaga keselamatan penumpang di dalam kapal sewaktu situasi kecemasan,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Pada masa sama, NUFAM berkata, kemahiran dan daya minda yang tinggi bagi menghadapi masa dan keadaan cemas juga amatlah diperlukan ramai pihak.

Katanya, kakitangan kru kabin tidak memerlukan sebarang latihan penuh kerana masing-masing sudah mempunyai pengalaman lama dalam bidang barisan hadapan.

“Justeru, kami berharap kerajaan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengambil perhatian kepada cadangan ini,” katanya.

Artikel Berkaitan: