118 hari tidak pulang rumah demi keselamatan keluarga

 Sebagai barisan hadapan, Rozihan Razni sanggup tidak pulang ke rumah kerana bimbang mendedahkan risiko Covid-19 kepada ibu dan neneknya.
Sebagai barisan hadapan, Rozihan Razni sanggup tidak pulang ke rumah kerana bimbang mendedahkan risiko Covid-19 kepada ibu dan neneknya.
A
A
A

GEORGETOWN - Demi keluarga tercinta, seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang sanggup tidak pulang ke rumahnya selama 118 hari selepas ditugaskan menjaga pusat kuarantin di sebuah hotel di Tanjung Bungah, di sini.

Rozihan Razni Abdul Rahim, 30, berkata, dia terpaksa mengorbankan rasa rindu terhadap keluarganya kerana bimbang mereka akan terdedah dengan risiko jangkitan wabak koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, kali terakhir dia berjumpa secara bersemuka dengan ahli keluarganya yang tinggal di Teluk Bahang adalah pada 26 Julai lalu.

"Saya mengambil keputusan untuk tidak pulang ke rumah untuk memastikan ahli keluarga saya serta penduduk setempat selamat dan tidak terdedah dengan risiko wabak Covid-19.

"Tambahan pula, saya tinggal bersama nenek berusia 78 tahun dan ibu berusia 56 tahun. Kedua-duanya adalah golongan berisiko, oleh itu saya ambil keputusan untuk tidak pulang ke rumah sejak bertugas di sini Julai lalu," katanya ketika ditemui di sebuah hotel di sini hari ini.

Rozihan Razni bertugas di sebuah hotel yang dijadikan pusat kuarantin di Tanjung Bungah.
Rozihan Razni bertugas di sebuah hotel yang dijadikan pusat kuarantin di Tanjung Bungah.

Dia yang masih bujang berkata, tugasnya sebagai barisan hadapan yang sering berdepan dengan pelbagai lapisan masyarakat menyebabkan dia enggan pulang ke rumahnya.

"Saya bertugas di barisan hadapan dan saya tidak tahu siapa yang saya jumpa setiap hari. Oleh itu, lebih baik saya tinggal di pusat kuarantin buat sementara waktu sehingga tugas memerangi wabak selesai.

Artikel Berkaitan:

"Tipulah jika saya kata tidak rindu tetapi dengan teknologi yang ada sekarang, saya berhubung dengan ahli keluarga menerusi pangggilan telefon dan video setiap hari selepas bertugas. Syukur, masih boleh berhubung melalui telefon walaupun tidak bersemuka," katanya.

Rozihan Razni berkata, sejak bertugas di pusat kuarantin di hotel itu, dia telah berjumpa dengan kira-kira 902 rakyat negara ini dan bukan warganegara Malaysia yang dikuarantin di pusat tersebut.

Rozihan Razni tidak pulang ke rumah sejak 118 hari yang lalu.
Rozihan Razni tidak pulang ke rumah sejak 118 hari yang lalu.

"Sebanyak 843 daripadanya telah dibenarkan keluar dan kesemuanya disahkan negatif dan bebas daripada Covid-19.

"Pada masa ini hanya ada 59 daripada mereka yang tinggal di hotel dan masih dikuarantin," katanya.

Tambahnya, dia dan petugas barisan hadapan yang lain berharap rakyat negara ini mematuhi perintah pihak berkuasa agar wabak Covid-19 ini dapat diperangi sepenuhnya.