X

Kindly register in order to view this article
!

Hingga ke mana kita selamat

A
A

SESUAI benar kita menjenguk ke dunia luas untuk mengetahui apa yang berlaku di pelosok-pelosok lain di dalam dunia. Inilah yang dipanggil persudutan global atau duniawi. Dulu kita diingatkan oleh orang tua-tua agar tidak bersikap seperti katak di bawah tempurung. Kita juga diingatkan, jauh berjalan, luas pemandangan.

Inilah sebenarnya definisi minda yang tidak terkongkong kepada sesuatu yang kejap, malah sedia menerima sesuatu yang baharu walaupun ia menyakitkan. Akhir-akhir ini saya mengikuti sebuah video yang memperkatakan bagaimana Allahyarham Presiden Sukarno Indonesia menghadapi hari-hari terakhir yang menyayatkan, yang melibatkan campur tangan Amerika Syarikat (AS).

Selepas itu di bawah Presiden Suharto, Indonesia membiarkan dirinya dikotak-katik oleh AS begitu lama, menjajah ekonomi Indonesia melalui firma-fima besar AS.

Apa yang berlaku kepada Indonesia selama lebih 30 tahun di bawah Suharto boleh digariskan. Ia berkemuncakkan peristiwa beliau menandatangani syarat-syarat IMF (Tabung Wang Antarabangsa yang beribu pejabat di AS) untuk menyelamatkan Indonesia daripada kelumpuhan mata wang dan ekonomi. Masih jelas di mata bagaimana Presiden Suharto duduk, menurunkan tandatangan, sedangkan ketua IMF berdiri berpeluk tubuh angkuh menyaksikan tandatangan itu. Sedih sekali.

Kejatuhan Sukarno pada tahun 1965, kira-kira 54 tahun dulu, diteritikkan dengan pelbagai kejadian sengit, antaranya pembunuhan beberapa jeneral tertinggi, diikuti dengan tindakan mahasiswa dan pelajar-pelajar sekolah menengah (dipanggil Kammi dan Kappi) di jalanan, semuanya untuk membersihkan anasir komunis dan golongan ‘kepala batu’ (entah siapa) untuk menegakkan Orde Baru di bawah kepimpinan Major- General Suharto.

Untuk memperkenalkan Suharto kepada dunia, seorang penulis wanita AS bernama Cindy Adams dibawa ke Jakarta bagi menghasilkan satu autobio bertajuk The Smiling General atau Jeneral Yang Tersenyum, diterjemahkan kemudiannya ke bahasa Indonesia. Segala dasar dan tindakan Sukarno yang menghalang AS mencekup ekonomi Indonesia diketepikan senang-senang. Lalu AS memuji sikap baru Indonesia membuka pintu seluas mungkin sebagai satu perubahan besar di Asia.

Lima puluh tahun dulu saya ngeri mendengar kira-kira 500,000 orang terbunuh akibat tragedi itu, tetapi rupa-rupanya angka sebenar ialah kira-kira satu juta yang terkorban. Kini pula televisyen menunjukkan begitu ramai orang Venezuela berdemonstrasi di jalanan, menuntut Presiden Maduro turun dan digantikan dengan Ketua Parlimen (KP). AS tidak sabar-sabar menyokong KP itu. Sikap AS itu disokong pula oleh sesetengah negara Amerika Selatan sendiri. Begitu juga sesetengah negara EU.

Menurut sejarah, badan perisik AS bernama CIA mempunyai banyak wang rahsia yang boleh digunakan untuk membunuh mereka yang dibenci , menyewa ‘perusuh dan pengacau’ malah merasuahkan ketua-ketua tentera agar merampas kuasa. Malang sekali negara-negara yang mempunyai banyak minyak seperti Iran, Iraq, Libya dan Venezuela menjadi sasaran AS.

Negara-negara rakan (menurut pengertiannya sendiri) seperti Arab Saudi ditanai mesra, malah tidak ada yang tidak betul. Venezuela dijadikan sasaran bukan saja kerana minyak tetapi juga kerana kecondongannya kepada sosialisme, apalagi menjadi rakan baik Cuba, sebuah negara acuan komunis sejak 1959.

Namun begitu Chile yang cenderung kepada sosialisme pernah menjadi mangsa AS. Presiden Allende yang pernah memenangi pilihan raya di sana terkorban di tangan Jeneral Pinochet dalam satu rampasan kuasa daripada galakan AS. Akhirnya Pinochet dibiarkan oleh AS menghadapi nasibnya sendiri selepas demokrasi dipulihkan di Chile. Pinochet ditangkap dan dipenjarakan di London ketika mendapat rawatan di situ. AS lepas tangan.

Tidak ada negara Amerika Selatan yang tidak kena sepak terajang AS. Brazil, Argentina, Colombia, Uruguay, Paraguay, Peru, Ecuador dan lain-lain lagi tidak terlepas. Akhirnya boleh dikatakan semuanya berkiblat kepada AS. Pemimpin-pemimpin baharu timbul satu persatu, dari satu masa ke satu masa. Mereka menghayati keseronokan hidup dari curahan wang AS. Justeru, mereka menganggap sejarah pahit yang lama tidak bererti apa-apa.

Disebut jangan, dikenang jangan apa yang AS buat terhadap Iran pada tahun 1953 dan 1979 dan diteruskan hingga sekarang. Biarlah dunia memekik melolong dan PBB mengecam itu dan ini, AS akan lakukan sesuka hatinya. Tidak ada kuasa yang boleh menangkap presidennya yang bertanggungjawab membunuh berjuta orang di sana sini.

Sebaliknya AS boleh menangkap Presiden Panama, PM Liberia dan lain-lain lagi atas pelbagai tududan. Hubaya, hubaya, selamatkah Malaysia? Ya selamat, selagi AS tidak mencari hal dengan kita. Angkatan Laut Ketujuh AS sentiasa siap siaga di perairan Singapura.

*Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!