X

Kindly register in order to view this article
!

Kesan negatif berganda jika kawasan bebas cukai dikenakan cukai

Kawasan bebas cukai Rantau Panjang.
A
A

KUALA LUMPUR - Cadangan kerajaan untuk mengenakan cukai terhadap produk rokok dan tembakau di semua kawasan bebas cukai akan menyebabkan kesan negatif berganda kepada ekonomi negara.

Pengerusi The ZON Duty Free (The ZON), Ong Bok Siong berkata, langkah kerajaan itu bukan sahaja menjejaskan peruncit malah turut mendorong pelancong untuk tidak mengunjungi zon separa bebas cukai.

Pada masa yang sama, katanya, tindakan itu turut mengancam peluang pekerjaan bagi golongan B40 serta menutup peluang pelaburan asing serta tempatan di kawasan berkenaan.

"Peruncit bebas cukai seperti kami sudah berusaha keras untuk mengatasi penurunan teruk dalam aktiviti pelancongan dan perjalanan sepanjang penularan wabak Covid-19.

"Bahkan menurut firma Globaldata, penjualan bebas cukai dijangka akan menurun sehingga AS$29.4 bilion (RM120.3 bilion) di wilayah Asia pasifik pada tahun ini.

"Jelas, ini adalah waktu yang salah untuk mengenakan cukai pada produk rokok dan tembakau di kawasan bebas cukai kerana ia digemari dalam kalangan pelancong antarabangsa dan domestik yang menjadi punca pendapatan kepada peruncit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Cadangan kerajaan untuk mengenakan cukai terhadap produk rokok dan tembakau di semua kawasan bebas cukai akan menyebabkan kesan negatif berganda kepada ekonomi negara.
Cadangan kerajaan untuk mengenakan cukai terhadap produk rokok dan tembakau di semua kawasan bebas cukai akan menyebabkan kesan negatif berganda kepada ekonomi negara.

Bok Siong berkata, The ZON turut menjangkakan pengguna akan berbelanja secara konservatif dalam masa terdekat.

"Di tengah-tengah keadaan yang tidak menentu ini, The ZON bersama dengan rakan-rakan industri kami telah mengambil langkah-langkah yang sukar untuk mengurangkan kos asas.

"Jika aliran pendapatan industri ditekan lebih jauh, beberapa peruncit mungkin terpaksa mengurangkan pekerja atau gulung tikar.

"Sudah tentu, ia tidak selari dengan tujuan kerajaan untuk menghidupkan kembali ekonomi yang telah dilanda krisis," katanya.

Justeru katanya, beliau menggesa kerajaan supaya mendengar rintihan peniaga dan pihak berkepentingan yang beroperasi di kawasan bebas cukai untuk membatalkan niat mengenakan cukai ke atas produk rokok dan tembakau.

"Fokus utama sekarang adalah untuk membantu perniagaan untuk kembali berdiri sehingga mereka dapat memberikan sumbangan positif untuk membangunkan semula ekonomi negara kita," ujarnya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November lalu, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, cukai akan dikenakan ke atas produk rokok dan tembakau di semua pulau bebas cukai dan mana-mana zon bebas diberi kebenaran penjualan runcit rokok bebas cukai.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!