DAP, UMNO giat bantu mangsa banjir

Kah Woh (empat dari kiri) menghulurkan sumbangan kepada mangsa banjir di dalam kawasan DUN Tebing Tinggi, semalam.
Kah Woh (empat dari kiri) menghulurkan sumbangan kepada mangsa banjir di dalam kawasan DUN Tebing Tinggi, semalam.
A
A
A

IPOH - Usaha membantu mangsa banjir kilat di beberapa kawasan di sini diteruskan oleh pelbagai pihak bagi meringankan beban mereka yang terjejas.

Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh antara yang turun padang melawat mangsa di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebing Tinggi semalam.

Dalam sesi lawatan tersebut, beliau yang juga Setiausaha DAP Perak turut menghulurkan bantuan kewangan kecemasan bagi meringankan beban mangsa terbabit.

Menurutnya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari turut membantu menyediakan dana bantuan kecemasan kepada mangsa.

"Kita menggesa kerajaan mengkaji punca banjir kilat ini dan memaklumkan laporan terperinci kepada penduduk.

"Kita juga menyaran kerajaan negeri mewujudkan dana khas bagi membantu mangsa yang terjejas di Ipoh ditambah ekonomi mereka turut terkesan akibat penularan koronavuirus (Covid-19)," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Bagi Puteri UMNO Bahagian Ipoh Timur, mereka membantu membersihkan rumah mangsa banjir kilat di Taman Temara, Kampung Sri Kinta, Kampung Kuala Pari Hilir dan Kampung Cempaka Sari sejak kelmarin.

Artikel Berkaitan:

Sukarelawan Puteri UMNO Ipoh Timur membantu membersihkan rumah mangsa banjir di Kampung Cempaka Sari, di sini, sejak semalam.
Sukarelawan Puteri UMNO Ipoh Timur membantu membersihkan rumah mangsa banjir di Kampung Cempaka Sari, di sini, sejak semalam.

Ketuanya, Norhidayu Husin berkata, sehingga kini lebih tiga rumah yang terjejas dibersihkan melibatkan 10 sukarelawan Puteri dan Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Timur sejak semalam.

Bagaimanapun katanya, lebih 100 rumah terjejas dan masih ada yang belum dibersihkan

"Kita sedang menggerakkan sukarelawan bagi membantu membersihkan kediaman itu. Mereka yang berhasrat menyertai kami sebagai sukarelawan sangat dialu-alukan.

"Bukan itu sahaja, kita turut mengalu-alukan pihak yang ingin menyumbangkan barang keperluan atau makanan untuk diagihkan kepada mangsa banjir," katanya kepada Sinar Harian selepas turut sama membantu membersihkan rumah mangsa banjir di Kampung Cempaka Sari, di sini, hari ini.

Semalam, dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka masing-masing di Dewan Orang Ramai Sri Kinta dan Dewan Sungai Terap bagi menempatkan 37 mangsa banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Ipoh dan Batu Gajah.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak memaklumkan dua PPS berkenaan dibuka bagi menempatkan tujuh keluarga yang terjejas.

ARTIKEL BERKAITAN: Banjir kilat: Dua PPS dibuka di Perak

Sehingga kini terdapat 116 mangsa banjir di seluruh Perak membabitkan empat PPS di tiga daerah iaitu Kinta, Hilir Perak serta Larut Matang dan Selama.