Kampung Batu 7 Ijok dilanda banjir

Sebuah rumah penduduk di Kampung Batu 7 Ijok dilanda banjir pagi tadi.
Sebuah rumah penduduk di Kampung Batu 7 Ijok dilanda banjir pagi tadi.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kira-kira 200 penduduk di Kampung Batu 7, di sini terjejas berikutan banjir melanda kampung itu sejak malam tadi.

Kediaman penduduk mula dinaiki air sejak jam 10 malam sebelum keadaan bertambah teruk pagi tadi sehingga memaksa sebahagian mereka dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Ijok.

Zharfan Effendy Mohd Tohar, 36, berkata, banjir kali ini lebih teruk berbanding kebiasaan hingga sebahagian rumah penduduk dilimpahi air sehingga paras 0.6 meter.

"Air naik terlalu cepat dan di rumah bapa saudara saya, air naik sehingga paras pinggang," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Menurutnya, air mula memasuki kediamannya pada jam 3 pagi dan naik mendadak dua jam hingga melimpah masuk ke bahagian dapur.

Zharfan Effendy berkata, kejadian banjir di kampung itu bukan sahaja menyebabkan barangan dan peralatan rumah rosak, malah turut menyebabkan kerugian kepada pemilik haiwan ternakan.

"Saya mengalami kerugian apabila makanan ternakan yang diletakkan di dalam tong berhampiran kandang kambing terbalik," katanya.

Katanya, kejadian banjir itu dipercayai berpunca daripada sungai berhampiran kampung yang tidak diselenggara sejak sekian lama.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, kejadian banjir semakin teruk sejak akhir-akhir ini akibat daripada pembangunan pesat projek perumahan di kawasan berhampiran," katanya.

Seorang lagi penduduk, Kamal Redza Zolkifli, 37, berkata, kejadian itu disifatkan paling buruk dalam tempoh 10 tahun ini.

Katanya, pada tahun ini sahaja, penduduk berdepan kejadian banjir sebanyak enam kali.

"Banjir yang melanda hari ini lebih teruk kerana ramai penduduk terutama di kawasan rendah dan pedalaman terpaksa dipindahkan ke PPS SK Ijok," katanya.