PKPB: 4,320 kenderaan diarah patah balik

Muhammad Yazid Muhammad Yew
Muhammad Yazid Muhammad Yew
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 4,320 kenderaan diarah berpatah balik kerana tidak mempunyai surat kebenaran rentas sempadan bagi tempoh lapan hari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor sejak 12 November lalu.

Jurucakap Khas Ops Covid-19 Kontinjen Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, kesalahan itu dikesan hasil pelaksanaan 71 sekatan jalan raya PKPB di susur keluar dan masuk lebuh raya.

"Sebanyak 594,769 kenderaan telah diperiksa sepanjang tempoh berkenaan. Sepanjang pemeriksaan itu, kita telah mengarahkan 4,320 buah kenderaan berpatah balik kerana tidak mempunyai surat kebenaran rentas negeri," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.

Beliau berkata, bagi tempoh itu juga, pihaknya menerima sebanyak 66,776 permohonan pergerakan.

Bagaimanapun, katanya, sebanyak 2,249 permohonan telah ditolak atas pelbagai alasan seperti ziarah dan menghadiri kenduri.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 483 pasukan khas telah ditubuhkan untuk menguatkuasakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 membabitkan 2,433 anggota polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

"Sebanyak 40,295 pemeriksaan telah dilaksanakan membabitkan rumah ibadat, premis, pejabat kerajaan, pasar awam, tapak pembinaan dan kenderaan persendirian," katanya.

Tambahnya, pihaknya juga telah melaksanakan 12 sekatan jalan raya bergerak setiap hari di lokasi tumpuan ramai.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, katanya, lokasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga lokasi iaitu di Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang; Plaza Hentian Kajang dan asrama pekerja syarikat Top Glove, Klang telah dilaksanakan membabitkan jumlah 12,298 penghuni.