Belanjawan 2021 tidak inklusif terhadap usaha NGO banteras dadah

 Izhar
Izhar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Penggunaan Bahan Terlarang (Masac) kecewa dengan Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada 6 November lalu kerana tidak inklusif terhadap usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menangani penyalahgunaan dadah.

Presidennya, Datuk Izhar Abu Talib berkata, sejak tahun 1983 negara telah mengisytiharkan dadah sebagai musuh nombor satu negara, namun sehingga kini gejala tersebut masih berleluasa dan tidak berkurangan.

"Masac amat kecewa dengan diskriminasi ini di mana pihak kerajaan yang menjalankan perkhidmatan ini diperuntukkan dengan bajet yang secukupnya. Ia termasuk banyak rumah perlindungan NGO seperti rumah orang tua, rumah perlindungan remaja wanita terlanjur, rumah perantaan penjara, rumah penjagaan HIV dan sebagainya diberikan peruntukan tahunan.

"Tetapi Masac mewakili seramai 43 NGO yang menjalankan perkhidmatan sama langsung tidak diberikan bajet.

"Oleh demikian, amat wajar kerajaan mempertimbang supaya Masac juga diberikan peruntukan untuk menjalankan perkhidmatan sebagai alternatif serta menampung kekurangan kepada perkhidmatan yang disediakan kerajaan," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Masac di sini hari ini.

Izhar berkata, perkhidmatan yang dijalankan oleh agensi terlibat perlu diperbaiki serta dipertingkatkan dan Masac bersedia untuk menawarkan perkhidmatan bagi bersama menangani masalah berkenaan.

Dalam konteks sama, katanya, kerajaan boleh mengambil contoh pendekatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menangani isu penularan HIV dan AIDS dalam kalangan penagih dadah.

"Pada tahun 1995, KKM telah mengadakan kerjasama dengan NGO serta menyalurkan dana yang diperlukan bagi menjalankan beberapa inisiatif dalam mengurangkan jangkitan HIV dalam kalangan penagih dadah.

Artikel Berkaitan:

"Hasilnya pada tahun 2018, penularan tersebut adalah yang paling rendah di dunia serta menjadi satu contoh yang diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)," katanya.

Melihat kepada kejayaan tersebut, beliau berkata, kerajaan seharusnya mengambil iktibar serta menjadikan pendekatan tersebut sebagai satu model bagi meningkatkan kadar keberkesanan dan kejayaan.

"Masac boleh dijadikan pemangkin bagi meningkatkan kadar kejayaan serta pilihan alternatif bagi menampung pelbagai keperluan khusus seperti kepelbagaian agama, bangsa, memperbanyakkan pilihan serta menjimatkan perbelanjaan," katanya.