Tangkapan kes rasuah meningkat 23 peratus tahun lepas

Mohd Uzir
Mohd Uzir
A
A
A

SHAH ALAM - Bilangan tangkapan kes jenayah rasuah di Malaysia oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun lepas menunjukkan peningkatan sebanyak 23 peratus berbanding tahun 2018.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, statistik menunjukkan peningkatan bagi kesalahan memberi rasuah meningkat 79 peratus dan diikuti tuntutan palsu sebanyak 35.8 peratus.

Menurutnya, tangkapan bagi salah guna kedudukan dan lain-lain kesalahan di bawah indeks jenayah rasuah pula menunjukkan penurunan pada kadar 24.7 peratus dan 9.8 peratus.

“Bagi jenayah rasuah, majoriti yang terlibat dengan jenayah ini adalah lelaki yang mewakili 82.9 peratus berbanding wanita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dibuat berdasarkan kepada Laporan Statistik Jenayah Malaysia 2020 bagi tahun ketiga yang memaparkan enam statistik jenayah terpilih iaitu jenayah indeks, dadah, rasuah, alam sekitar, jenayah maritim dan pemulihan.

Sebanyak 13 jenis jenayah yang diambil kira dalam jenayah indeks tersebut dengan pertambahan dua statistik baharu iaitu statistik jenayah maritim dan pemulihan.

Sementara itu, Mohd Uzir memaklumkan bahawa nisbah jenayah indeks bagi setiap 100,000 penduduk di Malaysia pada tahun lepas direkodkan bertambah baik iaitu sebanyak 256.6 untuk setiap 100,000 penduduk berbanding 273.5 pada 2018.

Katanya, nisbah jenayah indeks bagi semua negeri di Malaysia mencatatkan penurunan kecuali beberapa negeri seperti Pulau Pinang iaitu sebanyak 3.7 peratus, Sarawak (4.2 peratus) dan Terengganu (1.3 peratus).

Artikel Berkaitan:

“Tujuh buah negeri yang merekodkan nisbah jenayah indeks di bawah paras nasional pada 2019 ialah Sarawak dengan 214.6 bagi setiap 100,00 penduduk, Perlis (207.5), Perak (195.8), Pahang (195.7), Kelantan (188.2), Terengganu (150.3) dan Sabah (143.5),” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata, bilangan tangkapan penagih dadah telah menurun berbanding 2018 di lima negeri iaitu Kelantan, Pahang, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Perlis.

“Bilangan tangkapan penagih dadah tertinggi direkodkan pada tahun 2019 ialah di negeri Kedah iaitu sebanyak 3,582 orang diikuti Kelantan (2,998 orang) dan Pulau Pinang (2,893 orang).

“Sementara itu, jumlah penagih dadah yang ditangkap oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan pada tahun lepas dilaporkan meningkat kepada 26,080 orang berbanding 25,267 orang pada tahun 2018.

“Majoriti daripada penagih dadah yang ditangkap ialah terdiri daripada golongan lepasan SPM, SPMV dan yang setara dengannya,” katanya.

Mengulas mengenai statistik jenayah alam sekitar yang direkodkan di Malaysia, Mohd Uzir menjelaskan, bilangan saman yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar pada tahun 2019 bagi kesalahan pelepasan asap hitam telah menunjukkan sedikit peningkatan iaitu sebanyak satu peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Jumlah saman yang dikeluarkan bagi kesalahan tersebut pada tahun lepas ialah sebanyak 419 saman berbanding 415 saman pada tahun 2018,” ujar beliau.

Bagi kesalahan jenayah harta benda, Mohd Uzir memaklumkan bahawa jenayah tersebut yang merangkumi kesalahan seperti kes pecah rumah dan curi, kecurian kenderaan, curi ragut dan kecurian lain meningkat sebanyak 4.8 peratus pada tahun lepas berbanding tahun sebelumnya.

“Peratus pecah rumah dan curi meningkat 4.8 peratus pada 2019, manakala tiga kes jenayah yang lain menurun iaitu kecurian kenderaan sebanyak 14.1 peratus, curi ragut (86.2 peratus) dan kecurian lain (1.7 peratus).

“Bagi kesalahan di bawah kes jenayah kekerasan pula, jenayah rogol dan mencederakan masing masing meningkat 5.5 peratus dan 2.9 peratus pada 2019 berbanding tahun sebelumnya.

“Walau bagaimanapun, peratus samun dan bunuh menurun 5.3 peratus dan 4.0 peratus pada tempoh yang sama,” katanya.