Alliance Bank Malaysia lancar portal BizSmart Solution bantu PKS

Roy Heong Beng Wai
Roy Heong Beng Wai
A
A
A

SHAH ALAM - Alliance Bank Malaysia melancarkan portal BizSmart Solution untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terus berkembang walaupun dalam keadaan penularan wabak koronavirus (Covid-19) seiring dengan usaha merevolusikan perniagaan ke arah pendigitalan.

Ketua Perkongsian dan Inovasi Strategiknya, Roy Heong Beng Wai berkata, portal yang dilancarkan hujung tahun lalu itu menyediakan platform kepada PKS supaya mereka dapat berinteraksi antara satu sama lain.

"Pada masa sama mereka juga akan memperolehi penyelesaian digital bagi masalah perniagaan yang dihadapi mereka ekoran Covid-19.

"Dengan inisiatif ini, kami percaya mereka dapat peluang bisnes yang lebih banyak menerusi kerjasama rakan perniagaan kami yang berada dalam portal BizSmart Solution ini," katanya selaku panelis program SinarLive Khas bertajuk 'Webinar Bizfrancais: Revolusi Perniagaan Digital' yang dibawakan oleh PNS malam tadi.

Program yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian turut menampilkan panelis, Ketua Jabatan Perkhidmatan dan Sokongan Francais Perbadanan Nasional Berhad (PNS), Tengku Mohamed Fadhli Tengku Hamzah, serta Ketua Kandungan Digital PanPages Trinity, Siti Azrah Aishah Tajul Azhar, manakala Yus Amri Mohd Yusof selaku pengacara.

Sementara itu Heong Roy menjelaskan, portal BizSmart Solution memberi fokus kepada perniagaan jenis B2B atau perniagaan ke perniagaan membabitkan jenis transaksi yang ada antara perniagaan seperti yang melibatkan pengilang dan pemborong, atau pemborong dan peruncit.

"Pada masa ini kita ada hampir 80 rakan kongsi yang menyertai portal ini. Produk dan perkhidmatan yang dijual dan ditawarkan PKS dihubungkan dengan pangkalan data pelanggan bisnes kami yang berjumlah 70,000," katanya.

Sementara itu, Roy Heong berkata, pihaknya juga turut melancarkan program 'Support Local' sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu yang menyasarkan perniagaan kategori perniagaan kepada pengguna atau B2C.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ia untuk membolehkan peniaga mendaftar dengan portal mereka dan pihak Alliance Bank Malaysia akan menjalankan promosi terhadap produk jualan dan perkhidmatan yang ditawarkan.

"Promosi itu akan menggunakan portal, laman web, media sosial dan juga kepada pelanggan bank kami yang dianggarkan hampir satu juta orang," katanya.