'Kurangkan politiking, fokus bantu rakyat'

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Warisan Negara menggesa parti politik mengurangkan 'politiking' serta menghentikan perebutan kuasa ketika rakyat dalam kesusahan menghadapi koronavirus (Covid-19).

Pengerusinya, Datuk Zulkifly Ibrahim berkata, seharusnya semua pihak berganding bahu membantu petugas barisan hadapan memerangi Covid-19 yang menunjukkan perkembangan membimbangkan kebelakangan ini.

Menurutnya, pihaknya menyelar tindakan biadab segelintir pihak yang mempertikaikan titah nasihat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung urusan pentadbiran negara.

"Ada pihak yang angkuh mempersoalkan keputusan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja berkenaan penolakan cadangan pengisytiharan darurat oleh Kabinet. Ia tidak boleh diterima sama sekali.

"Sikap tidak menghormati titah nasihat serta keputusan Yang di-Pertuan Agong merupakan satu bentuk penderhakaan kepada pemerintah tertinggi negara," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Katanya, tindakan memperlekeh institusi diraja perlu ditolak kerana boleh mengganggu-gugat keharmonian masyarakat Malaysia.

"Seterusnya kami menyeru rakyat Malaysia yang mencintai kedamaian serta perpaduan agar menyanjung serta menjunjung kasih atas keprihatinan Yang di-Pertuan Agong.

"Seri Paduka Baginda telah bertindak dengan penuh kebijaksanaan bagi meredakan situasi ketegangan politik semasa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Al-Sultan Abdullah sebelum ini menolak pengisytiharan darurat kerana tiada keperluan untuk melaksanakannya di negara ini atau mana-mana bahagian negara.

Bagaimanapun kelmarin, Seri Paduka Baginda mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Parlimen Batu Sapi, sekali gus membatalkan pilihan raya kecil kawasan itu.

Proklamasi darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dilakukan selepas memperhalusi penjelasan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempersembahkan nasihat beliau susulan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri berhubung perkara itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Agong isytihar darurat di Parlimen Batu Sapi

Yang di-Pertuan Agong tolak cadangan darurat