X

Kindly register in order to view this article
!

Pegawai Palestin berunding dengan Israel

Hussein al-Sheikh mendedahkan pertemuan beliau dengan seorang pegawai kanan tentera Israel buat pertama kali dalam tempoh enam bulan. - Foto Twitter
A
A

RAMALLAH - Seorang pegawai Palestin semalam berkata, beliau telah mengadakan perbincangan dengan seorang pegawai tentera Israel buat pertama kali dalam tempoh enam bulan.

Perbincangan itu juga diadakan sejak Pihak Berkuasa Palestin (PA) menyatakan ia sedang menyelaraskan semula kerjasama dengan negara Yahudi itu yang sebelum ini dihentikan pada Mei lalu.

Menteri Hal Ehwal Awam PA, Hussein Al-Sheikh berkata, pertemuan yang diadakan itu membincangkan pelbagai isu.

"Hari ini (semalam) saya mengadakan pertemuan dengan pihak Israel. Kami menekankan tentang perjanjian dua hala yang telah ditandatangani yang sah di sisi antarabangsa," kata Hussein dalam satu kenyataan menerusi Twitter.

"Ia (perjanjian itu) bersetuju untuk memindahkan semua kewangan kepada PA dan kami menolak dasar penempatan (haram Yahudi), memusnahkan rumah (penduduk Palestin) dan merampas tanah (Palestin).

"Satu lagi mesyuarat juga akan diadakan tidak lama lagi," tambah kenyataan menteri itu.

Agensi berita Palestin iaitu WAFA menyatakan Hussein mengadakan pertemuan dengan pegawai tentera Israel, Mejar Jeneral Kamal Abu Rukun yang mengetuai cawangan tentera Israel yang bertanggungjawab dalam hal ehwal awam di wilayah Tebing Barat yang diduduki negara Yahudi tersebut dan dikenali sebagai COGAT.

Pertemuan itu diadakan ketika Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo melawat Israel.

Beliau juga dikatakan akan mengunjungi sebuah penempatan Yahudi di Tebing Barat dan Bukit Golan yang diduduki oleh Israel.

Pada Mei lalu, Palestin menghentikan penyelarasan dengan Israel apabila Presiden PA, Mahmud Abbas menyatakan ia sebagai tindak balas terhadap rancangan Israel untuk menambahkan lagi kawasan pemilikan paksa mereka di Tebing Barat.

Israel kemudian menangguhkan rancangan tersebut sebagai pertukaran berhubung satu perjanjian bagi menormalkan hubungan dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang sebelum ini diumumkan kepada media pada Ogos lalu.

Pihak PA turut menghentikan penerimaan cukai terutamanya duti kastam yang dikutip oleh Israel bagi pihak Palestin ketika menghentikan kerjasama itu.

Berikutan tidak lagi menerima wang cukai itu, Palestin telah memotong gaji penjawat awam ketika ekonominya berhadapan dengan masalah berikutan pandemik koronavirus (Covid-19). - AFP


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!