Adili kerajaan PH secara terbuka

A
A

BETUL bukan semua janji pilihan raya Pakatan Harapan (PH) telah ditunaikan atau boleh ditunaikan. Kerajaan PH sendiri telah mengaku secara terbuka bahawa banyak lagi janji yang belum dipenuhi.

Setelah memperoleh semua butir yang selama ini hanya diketahui oleh kerajaan lama (Barisan Nasional) kerajaan PH mengaku ada janji yang mungkin tidak boleh ditunaikan tanpa membebankan lagi kerajaan dan pembayar cukai.

Berkenaan kecekapan dan keberkesanan kepemimpinan kerajaan pula, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri mengaku ada kelemahan, termasuk dalam kalangan anggota Kabinet, menteri besar dan ketua menteri.

Setelah sembilan bulan memerintah dan diberikan pelbagai teguran oleh rakyat jelata, rasanya sudah sampailah masa bagi menteri, timbalan, menteri besar dan ketua menteri dinilai secara terperinci.

Kalau ada di antara mereka yang gagal mencapai prestasi minimum yang diharapkan oleh Perdana Menteri dan rakyat jelata, maka eloklah mereka menawarkan diri untuk meletak jawatan secara sukarela atau digugurkan.

Masa lima tahun sehingga PRU akan datang bukanlah lama dan rakyat jelata tidak perlu menunggu untuk mula menghukum kerajaan PH jika pada pandangan mereka ia gagal memenuhi harapan dan aspirasi mereka.

Malah mereka telah pun mula membuat penilaian itu melalui beberapa pilihan raya kecil (PRK) yang diadakan sejak PRU 9 Mei. Umumnya penarafan yang mereka berikan kepada PH telah menurun.

Kita boleh memberi alasan bahawa reaksi pengundi dalam PRK berbeza daripada ketika PRU. Tetapi sebagai parti yang baru mengambil alih pemerintahan, PH wajib mengambil berat setiap bentuk respons rakyat jelata terhadapnya.

Kekalahan lebih teruk yang dihadapinya dalam PRK Cameron Highlands 26 Januari lepas wajib diterima sebagai amaran jelas terhadap prestasi dan percaturan politik dalaman PH, khususnya dalam menghadapi PRK kerusi Dun Semenyih 2 Mac ini.

Di pihak lain pula, kerajaan PH tidaklah gagal seperti yang cuba digambarkan oleh saki-baki BN dan penyokongnya. Sebaliknya banyak kejayaan dan perubahan yang dibawa oleh PH dalam masa tidak sampai setahun.

Rakyat jelata berhak bersungut bahawa banyak keperluan asas mereka belum dipenuhi sepenuhnya. Tetapi untuk berlaku adil, rakyat jelata perlu menyedari bahawa kerajaan bukan sahaja bertanggungjawab terhadap kebajikan mereka tetapi ia juga bertanggungjawab terhadap kebajikan negara keseluruhannya.

Sejak mengambil alih pentadbiran negara pada 9 Mei lalu daripada BN yang memerintah selama 61 tahun, kerajaan PH telah mencapai kejayaan yang membanggakan dalam banyak hal.

Kita ambil contoh paling mudah iaitu skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Kerajaan PH telah memulakan proses pengadilan terhadap pihak-pihak yang bertanggungjawab ke atas skandal rasuah terbesar dalam sejarah dunia moden itu, termasuk ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Yang terbaru kita lihat bahawa bukan sahaja penipuan berlaku dalam urus tadbir 1MDB, malah juga dalam percubaan menutup hutangnya yang di satu peringkat melebihi RM50 bilion.

Dalam percubaan itu, kerajaan BN telah berpakat dengan China untuk melaksanakan projek-projek mega seperti Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang tidak termampu oleh negara.

Kita semua sudah tahun bagaimana kerajaan BN telah berhutang RM55 bilion daripada China dan memberikan kontrak kepada syarikat kerajaan negara tersebut untuk melaksanakan ECRL.

Sekarang, setelah kerajaan baharu PH mengambil keputusan untuk menimbang semula projek itu, termasuk kemungkinan membatalkannya, kita dengar berita bahawa China bersedia melaksanakannya dengan separuh harga.

Ini menimbulkan persoalan berkenaan kemungkinan berlaku persekongkolan oleh pihak-pihak tertentu dalam kerajaan lama untuk melakukan satu lagi penipuan setelah menjerumuskan negara dalam jebak hutang yang teruk akibat skandal 1MDB.

Jadi dalam kita menilai, menghukum dan memuji kerajaan baru PH kita perlulah mengambil pendirian yang kritikal tetapi adil dan bijaksana.

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin Tokoh Wartawan Negara


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.