Jururawat masuk jerat 'Love Scam' rugi RM56,000

Seorang jururawat kerugian hampir RM55,800 apabila terjerat dengan 'Love Scam' selepas berkenalan dengan seorang individu melalui Instagram, Oktober lalu. Gambar hiasan. - Foto 123RF
Seorang jururawat kerugian hampir RM55,800 apabila terjerat dengan 'Love Scam' selepas berkenalan dengan seorang individu melalui Instagram, Oktober lalu. Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

MELAKA TENGAH - [DIKEMAS KINI] Seorang jururawat kerugian hampir RM56,000 apabila terjerat dengan 'Love Scam' selepas berkenalan dengan seorang individu melalui Instagram.

Mangsa yang bekerja di sebuah klinik swasta dan berusia 32 tahun terpedaya dengan teman yang dikenali melalui laman sosial itu sejak Oktober lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, mangsa diperdaya dengan tipu helah suspek yang mahu mengirimkan hadiah berupa patung beruang untuk anak mangsa sebelum dia dihubungi individu yang menyamar sebagai ejen syarikat kurier dan mahu membuat penghantaran barang kepadanya.

Menurutnya, ejen terbabit memaklumkan kiriman yang dihantar kepada mangsa mengandungi barang-barang berharga seperti jam tangan, telefon bimbit, anak patung, barang kemas dan sejumlah wang tunai.

"Ejen terbabit kemudian mendakwa mangsa akan ditangkap kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram kerana bungkusan kiriman itu turut mengandungi wang tunai.

"Disebabkan takut dan percaya suspek, mangsa membuat transaksi wang kepada empat akaun bank berbeza sehingga berjumlah RM55,800 sebelum menyedari dirinya ditipu apabila suspek masih lagi meminta wang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Abdul Majid berkata, seorang wanita yang juga tukang kebun sebuah sekolah turut mengalami kerugian RM350 selepas diperdaya seorang lelaki menyamar sebagai pegawai polis dan menawarkan penjualan barang kes seperti perkakas elektrik dengan harga murah.

Katanya, mangsa yang berstatus janda dan berusia 58 tahun itu menyerahkan wang tunai RM350 kepada suspek bagi membeli sebuah mesin basuh dan sebuah televisyen dengan harga RM400 sebelum suspek menyatakan barang-barang itu akan diterima dalam tempoh 30 minit.

Artikel Berkaitan:

"Selepas menyerahkan wang tunai suspek tidak muncul dan mangsa berasa tertipu sebelum membuat laporan polis," katanya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan orang awam dinasihatkan membuat semakan nombor telefon dan nombor akaun yang diragui di laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/.