Penduduk Langkawi teruja rasai pengalaman naik helikopter

Sebahagian daripada penduduk sekitar pulau ini yang terpilih menaiki helikopter Robinson R44 secara percuma bergambar di hadapan helikopter tersebut di Heli Outpost di sini hari ini. - Foto Bernama
Sebahagian daripada penduduk sekitar pulau ini yang terpilih menaiki helikopter Robinson R44 secara percuma bergambar di hadapan helikopter tersebut di Heli Outpost di sini hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

LANGKAWI - [DIKEMAS KINI] Seramai 90 penduduk sekitar pulau peranginan ini teruja apabila buat julung kalinya dapat merasai pengalaman menaiki helikopter dan lebih menarik peluang tersebut diberikan secara percuma menerusi program kerjasama antara Heli Outpost Sdn Bhd dengan sebuah syarikat swasta yang sudi membuat penajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Heli Outpost Sdn Bhd, Faiz Fahmi Sazali berkata, pihaknya menerima penajaan berjumlah RM10,000 dari Ultra Saham Consultant Trading untuk program khidmat masyarakat (CSR) tersebut.

"Hari ini seramai 90 orang penduduk sekitar Langkawi yang terpilih merasai pengalaman pertama menaiki helikopter model Robinson R44 berkapasiti empat penumpang termasuk juruterbang. Mereka yang terpilih diterbangkan selama lima minit oleh juruterbang Kapten Barnabas Koh, melihat pemandangan menarik di sekitar Pantai Chenang.

"Selain program CSR, penajaan ini juga bertujuan membantu serta menghidupkan semula industri pelancongan Langkawi yang kini terjejas akibat pandemik koronavirus (Covid-19)," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ultra Saham Consultant Trading, Mohamad Firdaus Abd Rahim berkata, pihaknya terpanggil untuk melakukan penajaan kerana menyedari keadaan pengusaha pelancongan di Langkawi yang terjejas akibat wabak koronavirus (Covid-19), malahan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terus memberi tekanan kepada mereka.

"Menerusi program ini, kami mahu mereka yang terpilih dapat rasai pengalaman baharu menaiki helikopter kerana ada antara mereka yang kurang berkemampuan. Penajaan ini juga bertujuan membantu serta menyokong industri pelancongan di pulau ini yang terjejas teruk ketika ini,” katanya.

Sementara itu, Mohd Ikromi Mansor bersyukur impiannya bersama isteri serta dua anak masing-masing berusia empat dan setahun untuk menaiki helikopter termakbul.

“Anak perempuan saya, Ummu Amni yang berusia empat tahun paling teruja apabila kami sekeluarga terpilih untuk menyertai program hari ini. Program ini bagus kerana memberi peluang selain menyokong industri pelancongan Langkawi, saya sendiri akan berkongsi pengalaman naik helikopter dengan rakan-rakan lain supaya apabila datang ke pulau ini mereka juga dapat cuba rasai pengalaman menarik ini,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: