Covid-19: 1,778 individu dikuarantin di Terengganu

Dr Nor Azimi Yunus
Dr Nor Azimi Yunus
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seramai 1,778 individu di bawah pengawasan (PUS) dimasukkan ke enam pusat kuarantin di Terengganu bermula 26 September hingga 18 November.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, daripada jumlah itu sebanyak 1,602 PUS sudah discaj dan 176 PUS masih dikuarantin bagi tujuan pengawasan dan pemerhatian.

Menurutnya, individu yang diletakkan di bawah pengawasan dan pemerhatian kerana mempunyai risiko jangkitan koronavirus (Covid-19) dikuarantin selama 14 hari dari tarikh akhir pendedahan bagi memastikan mereka selamat sebelum discaj.

“Daripada jumlah 1,778 orang PUS yang dikenakan perintah kuarantin ini, seramai 1,509 orang dipercayai mempunyai kontak kepada pesakit Covid-19, 73 orang juga pengembara dari zon merah atau kuning.

“Pelaut pula seramai 12 orang, anggota kesihatan (HCW) seramai 66 orang dan lain-lain iaitu peneman kepada orang diperintah kuarantin seramai 118,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, enam pusat kuarantin (HSC) dibuka di Terengganu, namun hanya empat HSC dibuka manakala dua HSC iaitu Pusat Latihan dan Pembangunan Pengembangan (PLPP) Besut dan Darul Iman Tranining Center (DITC) Kemaman ditutup.

"PLPP dan DITC diletakkan di bawah ‘standby mode’ atau siap siaga dan boleh diaktifkan pada bila-bila masa sekiranya perlu. Terdapat enam HSC beroperasi dengan kapasiti kira-kira 468 bilik iaitu Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) Marang sebanyak 48 bilik.

"Selain itu, 118 bilik di Institut Pendidikan Guru (IPG) Dato’ Razali, PLPP Besut (38), Akademik Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur, Wakaf Tapai (103), DITC Kemaman (130) dan Institut Latihan Islam Malaysia (31).

Artikel Berkaitan:

Dr Nor Azmi berkata, bagi memastikan pengurusan di HSC berjalan lancar dan mengikut SOP ditetapkan beberapa agensi diberi tanggungjawab antaranya Jabatan Kesihatan Terengganu, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“PUS yang ditempatkan di HSC ini akan dibuat penilaian kesihatan oleh petugas kesihatan pada setiap hari bagi memantau status kesihatan jika mengalami gejala Covid-19 dengan mekanisme ditetapkan Kementerian Kesihatan.

“Jika terdapat PUS yang positif melalui keputusan ujian Covid-19, mereka akan dipindahkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya.