X

Kindly register in order to view this article
!

Pekerja kontrak tak mengaku cabul, rompak pekerja spa

Tertuduh dibawa ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan melakukan seks luar tabii, cabul dan rompak pekerja spa Khamis minggu lalu.
A
A

KAJANG - Seorang pekerja kontrak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas empat pertuduhan melakukan seks luar tabii, cabul, melakukan seks tanpa kerelaan dan rompak pekerja spa Khamis minggu lalu.

Noor Hezree Mohd Arifin, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Mohd Kafli Che Ali.

Mengikut tiga pertuduhan, lelaki yang memakai baju T merah itu didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii, menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mahu mencabul kehormatan dan melakukan seks tanpa kerelaan terhadap seorang wanita berusia 31 tahun.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah spa di Jalan Seri Putra 1/6, Bandar Seri Putra, Bangi di sini pada jam 12.30 tengah hari 12 November lalu.

Bagi kesalahan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii, dia boleh dihukum di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah, tertuduh yang juga bapa kepada dua anak, boleh dihukum mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Sementara pertuduhan melakukan seks tanpa kerelaan, pemuda itu boleh dihukum mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang membaca hukuman penjara maksimum 30 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga berdepan dengan pertuduhan melakukan rompakan terhadap mangsa yang sama, dengan mengambil rantai leher, rantai kaki dan wang RM953.

Semasa kejadian, tertuduh didakwa bersenjatakan pisau, di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 392/397 Kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda dan sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Norhana Sahat tidak menawarkan sebarang ikat jamin kepada tertuduh dengan alasan, dikhuatiri akan mengganggu mangsa.

“Tertuduh juga adalah seorang yang ganas dan pernah melarikan diri dari tahanan polis ketika mengambil sampel darah untuk asid deoksiribonukleik (DNA) di hospital,” katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu agar diberi ikat jamin dengan alasan perlu menyara isteri dan dua anak berusia 10 serta 11 tahun.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Mohd Kafli tidak membenarkan ikat jamin kepada tertuduh dan menetapkan 7 Januari tahun depan sebagai sebutan semula kes.

Ini menyebabkan tertuduh terpaksa meringkuk dalam penjara lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang sehingga sebutan semula kes.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Noor Hezree turut mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan lain iaitu melarikan diri daripada jagaan polis, yang mana dia ditahan secara sah bersabit report Bangi di bilik rawatan Hospital Kajang di sini.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa melakukan kesalahan pada jam 11.40 pagi, 13 November lalu dan didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Hairul Iqram Hairuddin tidak mencadangkan sebarang ikat jamin.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli, membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan dua penjamin, berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis.

Mahkamah menetapkan tarikh sama bagi sebutan semula kes.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!