Konti Jamek FM, dakwah cara normal baharu

Zulkifli (kanan) meninjau operasi konti Jamek FM yang baru dilancarkan baru-baru ini.
Zulkifli (kanan) meninjau operasi konti Jamek FM yang baru dilancarkan baru-baru ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Masjid Jamek Sultan Abdul Samad meneruskan misi dakwah normal baharu dengan melancarkan Konti Jamek FM berkonsepkan 'santai tapi sampai'.

Mula digerakkan sejak Jun lalu, platform media sosial menerusi Facebook dan Youtube kini boleh didengari menerusi aplikasi radio Jemak FM yang boleh dimuat turun di Playstore Android secara percuma.

Menariknya, juruhebah atau DJ yang akan mengendalikan rancangan konti terdiri dalam kalangan pegawai dan kakitangan masjid sendiri termasuk imam serta bilal.

Menurut Naqib Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Yahya Mahyuddin Utoh Said, program di bawah Pelan Pengimarahan Masjid-Masjid Wilayah Persekutuan 2020-2024 Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) ini turut mendapat kerjasama daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Islamic Outreach ABIM dan lain-lain.

Katanya, idea tercetus selepas penutupan masjid dan surau semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu yang mana pengurusan masjid mencari alternatif dalam meneruskan program pengimarahan masjid menggunakan platform digital.

"Disebabkan ketika itu aktiviti dalam masjid tidak boleh dilaksanakan secara fizikal maka kami cuba pelajari kaedah baharu berdakwah melalui Facebook dan Youtube, pada 8 Jun lalu kami berjaya ubah suai bilik imam menjadi konti radio untuk bersiaran.

"Bermula dengan live FB Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur yang mendapat tontonan 4,500 sehari, kami cuba kembangkan melalui konti Jamek FM ini untuk lihat sambutan daripada orang awam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Zulkifli menyempurnakan pelancaran konti Jamek FM
Zulkifli menyempurnakan pelancaran konti Jamek FM

Mengulas lanjut, Yahya berkata, radio tersebut akan bersiaran 24 jam sehari dan ditemani juruhebah untuk tiga sesi iaitu pagi (10 pagi-11 pagi), petang (3 petang-4 petang) dan malam (9 malam - 10 malam).

"Kami adakan segmen termasuk mengundang beberapa tetamu untuk sesi bual bicara membincangkan isu semasa dan dakwah mengikut tema-tema tertentu.

"Disebabkan masjid beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan maka pengimarahannya termasuk kuliah dan pengajian semua dilakukan secara atas talian dan radio. Insya-ALLAH ia akan berterusan," katanya.

Terdahulu, pelancarannya disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, kelmarin.

Dr Zulkifli berharap penubuhan Konti Jamek FM menjadi pelopor kepada masjid lain di seluruh negara untuk melaksanakan aktiviti dakwah melalui pendekatan itu.

“Jarang kita dengar masjid ada radio sendiri atau rancangannya sendiri, usaha seperti ini diharapkan akan diperluas kepada masjid-masjid lain dan kita boleh sampaikan (dakwah) dengan penuh berhemah serta berhikmah tentang perkara-perkara yang membawa kebaikan,” katanya.