Baju, seluar jenama tiruan dirampas

KPDNHEP Putrajaya merampas pelbagai pakaian yang menggunakan jenama terkenal disyaki tiruan bernilai RM67,750 dalam serbuan di sebuah rumah di Balakong, Selangor kelmarin.
KPDNHEP Putrajaya merampas pelbagai pakaian yang menggunakan jenama terkenal disyaki tiruan bernilai RM67,750 dalam serbuan di sebuah rumah di Balakong, Selangor kelmarin.
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebuah rumah di Taman Cheras Jaya, Balakong, Selangor yang dipercayai menjadi tempat menyimpan pakaian tiruan untuk jualan secara dalam talian diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putarajaya kelmarin.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP Putrajaya, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, serbuan kira-kira jam 1 petang itu dilakukan bersama wakil pemilik cap dagang.

Menurutnya, pemeriksaan menemui pelbagai jenis baju dan seluar jenama Adidas, Puma dan Nike bernilai RM67,750 yang disyaki tiruan.

"Seorang lelaki warga tempatan berusia 45 tahun ditahan untuk direkod keterangan. Siasatan mendapati kegiatan penjualan pakaian itu dibuat secara dalam talian dengan mengiklankan tawaran harga yang jauh lebih murah bagi menarik perhatian pembeli," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019.

Iskandar Halim turut memberi amaran kepada individu atau syarikat supaya lebih bertanggungjawab dan menghormati harta intelek orang lain.

"Individu atau syarikat yang melanggar undang-undang terutama membabitkan penjualan dan pengedaran barangan tiruan akan dikenakan tindakan tegas.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyimpanan dan penjualan barang tiruan ini disarankan supaya melaporkan kegiatan ini melalui hotline 1-800-886-800, WhatsApp di 019-2794317 atau 03-88826088 di Enforcement Command Centre (ECC) atau hadir sendiri pejabat KPDNHEP berhampiran supaya tindakan sewajarnya boleh diambil," katanya.

Artikel Berkaitan: