Misteri ketukan pintu hantui penduduk

Nur Farzana (kiri) dan Nurul Farisya (kanan) menunjukkan pintu rumah mereka diketuk beberapa kali malam semalam.
Nur Farzana (kiri) dan Nurul Farisya (kanan) menunjukkan pintu rumah mereka diketuk beberapa kali malam semalam.
A
A
A

SABAK BERNAM - Penduduk di beberapa kampung di daerah ini diselubungi misteri apabila mendakwa diganggu dengan bunyi pintu rumah mereka diketuk tanpa salam sejak kelmarin.

Gangguan misteri itu dipercayai mula mengganggu penduduk pada waktu malam hingga awal pagi membabitkan beberapa kampung antaranya Kampung Batu 37, Batu 38, Kampung Tengah dan Kampung Banting.

Seorang penduduk Khairol Anuar Mhd Zaini, 39, berkata, kejadian jam 10.45 malam kelmarin itu berlaku di dapur rumahnya di Kampung Batu 37.

"Semasa kejadian saya sedang berehat sambil menonton televisyen di dapur selepas pulang menjual burger.

"Tiba-tiba saya terdengar bunyi pintu dapur rumah diketuk dengan kuat seperti seseorang ingin masuk ke dalam dengan cepat.

"Mulanya saya membiarkan sahaja sebab ingatkan anak saudara datang ke rumah, tapi saya dengar bunyi ketukan itu semakin kuat sebelum saya intai di tingkap dan mendapati tiada sesiapa di luar rumah," katanya.

Khairol Anuar berkata, dalam beberapa minit selepas itu, dia sekali lagi dikejutkan dengan bunyi sama di dalam bilik air rumahnya.

"Seluruh tubuh saya menggigil dan bulu roma meremang sebaik dengar ketukan pintu di bilik air yang sudah lama tidak digunakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Khairol Anuar yang menggunakan akaun nama Erolkhairol memuat naik status di Facebook berhubung kejadian itu semalam. Kejadian gangguan pintu rumah diketuk turut tular di Facebook.
Khairol Anuar yang menggunakan akaun nama Erolkhairol memuat naik status di Facebook berhubung kejadian itu semalam. Kejadian gangguan pintu rumah diketuk turut tular di Facebook.

Seorang penduduk, Nor Azuwa Shaaban, 31, berkata, bunyi misteri sama turut dialami dua adiknya, Nur Farzana, 22, dan Nurul Farisya, 17, yang menetap di Kampung Batu 38.

Katanya, kejadian kira-kira jam 10 malam kelmarin itu dialami selepas Nur Farzana menyelesaikan tugasan kerja di beranda sebelum masuk ke dalam rumah.

"Nur Farzana yang masuk ke rumah terdengar bunyi pintu depan diketuk dan kebetulan seorang lagi adik saya (Nurul Farisya) yang sedang duduk di sofa turut mendengar bunyi sama.

"Semasa kejadian mereka berdua tidak berani membuka pintu dan pada keesokannya kecoh di dalam WhatsApp dan Facebook mengenai penduduk diganggu dengan bunyi ketukan tanpa salam itu," katanya.

Bagi Nor Zaihana Yaakob, 38, pula mengakui kejadian seram itu turut dialami ketika dia bersama dua anak dan ibunya berada di rumah mereka di Kampung Tengah.

Nor Zaihana memberitahu, kejadian kira-kira jam 11.40 malam itu berlaku semasa dia sedang menidurkan bayinya berusia empat bulan.

"Mulanya saya ingatkan dua anak saudara pulang dari kerja, namun sangkaan meleset apabila saya menjenguk di tingkap mendapati tiada sesiapa di luar rumah.

"Seram jugalah dengan peristiwa ini, lebih-lebih lagi suami tiada di rumah kerana bekerja malam," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Batu 37 Darat, Muhammad Nazri Saiman berkata, pihaknya ada menerima banyak aduan berhubung perkara itu.

Malah, katanya, dia sendiri turut diganggu bunyi ketukan pintu itu semasa berada di rumahnya pada jam 11 malam kelmarin.

"Boleh dikatakan hampir separuh penduduk kampung ini mengadu kejadian sama dan saya menasihatkan mereka supaya berhati-hati dan tidak membuka pintu jika terdengar bunyi meragukan," katanya.

Beliau berkata, penduduk dinasihatkan menghubungi polis atau pihaknya selain jiran terdekat sekiranya ternampak sesiapa yang mencurigakan.

"Kami telah mengambil tindakan antaranya melakukan rondaan membabitkan sukarelawan MPKK bermula jam 10 malam hingga 3 pagi di sekitar kampung ini," katanya.