Lebih 30 cedera di Gaza

Anggota paramedik membantu seorang wanita Palestin yang cedera terhidu gas pemedih mata.
Anggota paramedik membantu seorang wanita Palestin yang cedera terhidu gas pemedih mata.
A
A
A

RAMALLAH - TEBING BARAT. Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza mengesahkan 32 orang cedera, termasuk seorang anggota paramedik wanita yang terkena tembakan gas pemedih mata di mukanya dalam kejadian berhampiran sempadan Rafah, kelmarin.

Daripada jumlah tersebut, seorang remaja perempuan dalam keadaan kritikal akibat ditembak di dada dan seorang lagi kanak-kanak mengalami nasib sama, namun butiran kecederaannya tidak didedahkan.

Tentera rejim menggunakan peluru hidup dan melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan ratusan penduduk Palestin yang menyertai protes mingguan di sepanjang sempadan Gaza-Israel.

Tunjuk perasaan bagi membantah penaklukan Israel itu telah memasuki minggu ke-45 sejak tercetus pada 30 Mac lalu.

Ia turut bertujuan menuntut hak untuk pulang ke kampung halaman yang dirampas rejim Zionis sejak 1948. - Agensi

Artikel Berkaitan: