Pelancaran MSD seiring normal baharu

Dari kiri: Zeti Akhtar, Tengku Zafrul dan Ahmad Zulqarnain ketika pelancaran Minggu Saham Digital secara maya di Kuala Lumpur semalam.
Dari kiri: Zeti Akhtar, Tengku Zafrul dan Ahmad Zulqarnain ketika pelancaran Minggu Saham Digital secara maya di Kuala Lumpur semalam.
A
A
A

PERMODALAN Nasional Berhad (PNB) melancarkan Minggu Saham Digital (MSD) yang disiarkan secara maya di ibu negara semalam.

Pelancaran itu disempurnakan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Tengku Zafrul dalam ucapannya turut menzahirkan ucapan tahniah kepada PNB atas inisiatif meneruskan acara tahunan istimewanya iaitu Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) meskipun kini dibawakan dalam bentuk digital dan diberi nama baharu iaitu MSD.

“Saya dimaklumkan bahawa sejak acara sulungnya pada tahun 2000, MSAM tidak pernah gagal mendekati rakyat Malaysia dengan pameran dan pelbagai aktiviti berteraskan pendidikan pelaburan di seluruh negara.

“Pada hemat saya, acara ini berjaya diadakan saban tahun berkat sokongan berterusan semua pihak termasuk kerajaan negeri, agensi kerajaan dan juga syarikat-syarikat korporat.

“Manfaat penganjurannya pula sampai kepada lebih 3.9 juta pengunjung yang berpeluang mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti bersama keluarga.

“Lebih penting lagi, pelabur PNB berpeluang memahami dengan lebih dalam bagaimana wang mereka dilaburkan,” katanya ketika menyempurnakan pelancaran MSD secara maya semalam.

Serentak itu juga, Tengku Zafrul merasmikan pelancaran Amanah Saham Nasional (ASN) Imbang 3 Global iaitu dana unit amanah pertamanya yang mempunyai portfolio pelaburan di pasaran antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir ialah Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz serta Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn.

Tengku Zafrul berkata, penganjuran MSD diharap menjadi tarikan pengunjung dalam talian khususnya golongan belia dan remaja seiring dengan usaha untuk membangunkan masyarakat celik pelaburan dan pada masa sama turut celik digital.

“Perkongsian maklumat secara dalam talian menerusi MSD ini akan memastikan rakyat mendapat manfaat dengan cara yang selamat dan selesa dari mana saja kita mengikutinya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Tengku Zafrul berkata, kerajaan dengan kerjasama semua pihak sedang giat mempersiapkan Malaysia ke arah transformasi digital bagi memacu pertumbuhan ekonomi yang mapan dan saksama di seluruh negara.

Katanya, ini penting dalam usaha kerajaan menyediakan tenaga kerja dengan kemahiran yang tepat untuk memenuhi cabaran industri pada masa hadapan.

“Transformasi MSAM kepada MSD hanyalah salah satu contoh di mana perjalanan kita berterusan dalam normal baharu yang semakin menjadi kebiasaan dalam penularan wabak Covid-19.

“Dengan itu, kerajaan telah mempercepatkan usaha memudah cara rakyat dan perniagaan mengadaptasi pendigitalan, bermula dengan inisiatif yang diperkenalkan dalam pakej Prihatin, Penjana dan Kita Prihatin sejak bulan Mac untuk membantu perniagaan memulakan penghijrahan digital mereka sendiri.

“Ekonomi digital adalah fokus utama dalam pelan pemulihan ekonomi negara agar kita pulih kembali seperti sediakala,” katanya.

Sementara itu, Zeti Akhtar pada sidang akhbar berkata, PNB akan terus meningkatkan portfolio pelaburan di pasaran luar negara.

“Pelaburan luar negara ini akan ditingkatkan secara berkala bergantung kepada unjuran semasa. Kita akan melihat kepada tinjauan ekonomi dan jika bersesuaian, PNB akan memperkenalkan lagi produk pelaburan luar negara yang baharu.

“Bagaimanapun, PNB bukan saja akan menumpukan kepada pelaburan luar negara semata-mata tetapi turut akan membabitkan kepada pasaran domestik,” katanya.

Mengulas mengenai pelancaran ASN Imbang 3 Global, Zeti Akhtar berkata, ia merupakan dana unit amanah pertama dimiliki syarikat pengurusan unit amanah milik penuh PNB, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) yang mempunyai portfolio pelaburan di pasaran antarabangsa.

Katanya, ASN Imbang 3 Global yang merupakan unit amanah harga berubah ditawarkan kepada semua rakyat negara ini dengan pelaburan permulaan minimum RM10.

“ASN Imbang 3 Global sesuai untuk mereka yang mencari destinasi pelaburan dengan risiko sederhana dan mengharapkan peningkatan modal dan pulangan daripada pelaburan untuk jangka panjang,” katanya.

Menyentuh mengenai MSD, Zeti Akhtar berkata, ia akan dijadikan sebagai acara tahunan.

“Sebagai sebuah institusi pelaburan utama negara, PNB berpegang teguh kepada mandat yang diberikan untuk meningkatkan kesejahteraan kewangan bagi membantu membangunkan ekonomi bumiputera dan semua rakyat Malaysia.

“Justeru, pada tahun ini kita telah merombak MSAM ke format digital selaras dengan perkembangan era teknologi. Format baharu ini mudah dilayari dan boleh diakses oleh lebih ramai lagi rakyat Malaysia. Maka, lahirlah MSD yang bertemakan ‘Labur Bersama’.

“MSD berlangsung secara digital dan program yang diaturkan adalah menyeluruh serta boleh disertai segenap lapisan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, acara yang berlangsung selama tujuh hari bermula 18 hingga 24 November ini dibawa secara livestream.

“Seperti acara MSAM sebelum ini, MSD padat dengan aktiviti interaktif serta hibur didik untuk membimbing masyarakat mengenai pelaburan dan perancangan kewangan,” katanya.